KARAMUNTING: “Saya merupakan pemimpin untuk semua kaum dan sentiasa berusaha menyelesaikan isu penduduk setakat kemampuan yang ada,” tegas Datuk George Hiew Vun Zin, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Karamunting, ketika berucap dalam Program Santuni Penduduk Kampung Leila pagi tadi.
Program yang dihadiri kira-kira 100 penduduk itu menyaksikan George menjelaskan penyelesaian praktikal terhadap isu lampu di kampung tersebut melalui pemasangan lampu solar, sebagai usaha menangani keperluan penduduk.
Beliau turut mengakui menerima banyak aduan daripada masyarakat, namun menasihati penduduk supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan. Menurutnya, status tanah kampung menjadi antara faktor yang menghadkan penyaluran peruntukan besar daripada kerajaan, sekali gus memerlukan pendekatan alternatif bagi membantu penduduk.
“Atas keterbatasan ini, saya menggunakan peruntukan ADUN untuk membekalkan bahan binaan agar penduduk dapat membaiki kemudahan secara gotong-royong,” katanya sambil menekankan pentingnya semangat kerjasama masyarakat.
Mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau bersikap ‘pilih bulu’, George menegaskan tuduhan itu tidak benar dan meminta masyarakat menilai berdasarkan rekod perkhidmatannya.
“Selama tujuh tahun berkhidmat sebagai ADUN di sini, prinsip saya tetap jelas: membantu semua penduduk Karamunting tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan tohmahan sepanjang tempoh kempen, dan sebaliknya menilai kerja nyata yang telah dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk.



