Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa diari peribadi Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dibaca sebagai rujukan siasatan, kerana beliau tidak dapat disoal siasat secara langsung dalam siasatan dalaman sekolah.
Yuslina Badrum, 38, berkata pihak sekolah biasanya akan memanggil sesiapa yang disyaki terlibat dalam sesuatu kes, namun memandangkan keadaan Zara yang kritikal pada ketika itu, diari beliau digunakan sebagai rujukan.
Saksi ke-49 dalam inkues kematian Zara menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.
Pegawai Pengendali: Kenapa kesemua diari, buku dan helaian-helaian kertas ini diarahkan untuk diserahkan kepada cikgu?
Saksi: Arahan itu diberi oleh cikgu Azhari dan saya hanya mematuhinya sahaja
Pegawai Pengendali: Cikgu ada baca tulisan Zara dalam diari dan kertas-kertas yang diserahkan kepada cikgu?
Saksi: Ada
Pegawai Pengendali: Kenapa cikgu baca diari dan tulisan-tulisan Zara?
Saksi: Kerana tengah buat siasatan dan amalan siasatan biasanya akan memanggil sesiapa yang disyaki terlibat dalam sesuatu kes dan pada waktu itu zara dalam kritikal jadi kami tidak bolehlah bertanya kepada beliau maka diari tersebut digunakan sebagai rujukan.
Menurut Yuslina, tiada seorang pun mengetuai siasatan dalaman, dan laporan hasil siasatan disediakan oleh Unit Disiplin Sekolah, di mana beliau tidak terlibat dalam penyediaannya.
Saksi juga memberitahu bahawa siasatan dijalankan pada waktu pagi kira-kira pukul 10.30 pagi di surau sekolah, dan apabila beliau tiba, seorang guru telahpun memulakan sesi soal jawab dengan rakan sebilik Zara.
Yuslina berkata beliau memanggil pelajar Tingkatan Empat untuk menjaga rakan sebilik Zara kerana pada waktu itu beliau masih tidak mengetahui siapa yang terlibat dalam siasatan.
Menjawab soalan tambahan, Yuslina berkata satu mesyurat yang dipengerusikan oleh pengetua sekolah telah diadakan berhubung kejadian yang menimpa Zara namun tiada sebarang keputusan atau hasil rasmi daripada mesyuarat itu.
Pegawai Pengendali: selain siasatan dlaman yang dijalankan, ada tak siatan tergempar yang melibatkan guru atau warden sekolah diadakan ada pag tersebut.
Saksi: Pada 16hb tiada apa-apa mesyurat, pada 17 ada satu mesyurata yang dipengerusikan oleh pengetua.
Pegawai Pengendali: Di mana mesyuarat ini berlangsung
Saksi: Di bilik mesyuarat sekolah
Pegawai Pengendali: Siapa ahli mesyuarat yang hadir pada masa tersebut
Saksi: Pentadir, pengetua, PK hem, warden asarama, Unit Displin, dan Unit Bimbingan dan Kaunseling
Pegawai Pengendali: Secara ringkas boleh cikgu bagitahu Mahkamah apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut?
Saksi: Mesyuarat tersebut agak singkat, saya rasa tak sampai 1 jam membincangkan tentang penyelarasan koronologi apa yang berlaku pada hari tesebut bermula dari zara ditemui sehingga bagaimana Zara dihantar ke hospital
Pegawai Pengendali: Ada kata putus atau kepurusan hasil mesyuarat?
Saksi: Tidak ada
Dalam soalan lain, Yuslina berkata bahawa tahun ini beliau tidak menerima sebarang aduan sama ada berkaitan buli atau kes kecurian.
Beliau juga berkata bahawa tiada warden bertugas pada malam kejadian dan beliau tidak pasti mengapa jadual rondaan disediakan oleh seorang guru yang belum dilantik sebagai warden asrama.
Zara, seorang pelajar Tingkatan Satu, ditemui pengsan di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, ialah Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi saksi kanak-kanak pertama yang didakwa ialah Datuk Ram Singh dan Joan Goh, manakala peguam bagi saksi kanak-kanak kedua hingga keempat ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylyester Kuan.



