KOTA KINABALU, — Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N.30 Bongawan, Haji Saidin bin Ibrahim, berkata kenyataan Datuk Seri Salleh Keruak mengenai “hero MA63” wajar diperhalusi dengan memahami rekod sejarah sebenar, bukan sekadar berdasarkan persepsi menjelang musim pilihan raya.
Menurut beliau, sebelum isu MA63 menjadi slogan politik pelbagai pihak, usaha mengembalikan hak Sabah sudah digerakkan lebih awal oleh Tan Sri Anifah Aman ketika masih memegang jawatan Menteri Luar di peringkat Persekutuan.
Haji Saidin menegaskan bahawa perjuangan tersebut bukan bermula di jalan raya atau pentas ceramah, tetapi dibawa terus ke Kabinet Persekutuan , satu langkah yang pada ketika itu hanya berani dilakukan oleh seorang menteri Sabah.
“Ini fakta yang tidak boleh dipadamkan. Anifah adalah antara yang terawal membawa MA63 ke Kabinet dan menuntut komitmen jelas daripada kerajaan Persekutuan. Beliau berdepan tekanan, surat tunjuk sebab dan risiko politik, tetapi tetap bersuara kerana percaya hak Sabah mesti ditegakkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pada 12 Oktober 2018, Free Malaysia Today merekodkan pendedahan Anifah bahawa tiada seorang pun menteri asal Sabah ketika itu tampil bersama untuk mempertahankan MA63 di Kabinet.
“Beliau bergerak seorang diri, bukan kerana mahu menjadi hero, tetapi kerana ketika itu tidak ada yang sanggup berkongsi risiko. Ini hakikat yang sudah direkodkan, bukan rekaan politik,” tegas Haji Saidin.
Katanya, usaha Anifah turut menyatukan tokoh-tokoh Sabah merentasi garis politik, termasuk bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Ansari Abdullah serta pakar MA63 Allahyarham Zainnal Ajamain.
“Mereka duduk semeja atas dasar perjuangan, bukan kepentingan parti. Ini jarang berlaku dalam politik Sabah, dan ia hanya boleh dicapai apabila ada pemimpin yang benar-benar ikhlas,” ujarnya.
Menurut Haji Saidin, terdapat juga majlis penting berkaitan MA63 yang menjemput ramai pemimpin Sabah termasuk Datuk Seri Salleh Keruak, namun hanya Anifah yang hadir dan berucap walaupun masih memegang jawatan Kabinet ketika itu.
“Keberanian seperti itu tidak boleh diputar balik. Orang boleh berdebat, tetapi sejarah tidak boleh dipadam.”
Dalam konteks PRN Sabah ke-17, katanya, isu MA63 bukan pertarungan siapa “hero”, tetapi soal siapakah yang mempunyai rekod paling konsisten dan berani memperjuangkan hak negeri tanpa mengira risiko.
Beliau menegaskan bahawa keputusan PRN kali ini akan menentukan kedudukan Sabah dalam rundingan semula MA63, khususnya tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan yang masih tertangguh.
“MA63 bukan alat kempen. Ia adalah asas kepada autonomi kita — dari hasil negeri, pendidikan, keselamatan hingga minyak dan gas. Kita perlukan pemimpin yang telah membuktikan perjuangannya, bukan sekadar cakap ketika pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, rakyat berhak mengetahui sejarah sebenar supaya tidak terpedaya oleh naratif baharu yang cuba dilakar menjelang PRN.
“Rekodnya jelas. Laluan MA63 ini dibuka oleh Tan Sri Anifah Aman ketika ramai memilih untuk senyap. Itu faktanya.”



