Oleh Raul G
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menolak dakwaan pembangkang yang menyatakan tiada sebarang perubahan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau yang juga calon kerusi bagi DUN Sulaman itu berkata, pelbagai perubahan dimanfaatkan rakyat selama lapan penggal mewakili kawasan terbabit.
“Penduduk Sulaman tahu apa yang dilaksanakan dan kekal menyokong saya selama lapan penggal,
“Jadi, saya yakin mereka sekali lagi akan memberi kemenangan sama di Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Sabah (PRU DUN Sabah) Ke-17 pada 29 November ini,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Sesi Ceramah Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Indai, DUN Sulaman di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak pembangkang tidak menyedari perubahan yang dilaksanakan di Sulaman.
“Antaranya, perumahan besar di Sulaman, Pekan Tuaran cukup untuk rakyat selain kemudahan asas jalan raya ke setiap kampung hampir 100 peratus.
“Malahan, Pantai Dalit yang juga kawasan saya sebelum ini, penduduk di Mengkabong menyokong saya sejak dahulu.
“Di sana, rumah atas air kita gantikan dengan rumah di atas tanah, sekarang sudah selesa berumah (tinggal) di atas tanah,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan rumah tersusun di Mengkabong berkenaan merupakan pencapaian besar hasil usahanya dalam membantu rakyat, selain projek sama di Kampung Penimbawan.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, ketika itu, masyarakat nelayan di kedua kampung berkenaan diberi rumah percuma setiap keluarga.
“Kita buat (laksanakan) kerana mahu bantu nelayan yang tinggal di rumah atas air, beri mereka keselesaan, rakyat yang memerlukan. Sekarang kita ada Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) lagi, walaupun ramai belum dapat, tapi ini satu usaha yang baik.
“Untuk belia pula, kita bina Kompleks Sukan Tuaran, bantu persatuan belia setiap tahun, bagi peruntukan. Jadi, siapa kata kita tidak peduli orang muda Sulaman? sedangkan kita bagi pelbagai bantuan termasuklah bantuan perniagaan kecil-kecilan.
Ujar beliau lagi, pembinaan astaka di kompleks sukan sedang dilaksanakan membabitkan kos sebanyak RM15 juta dengan keluasan 100 ekar.
Turut dicadangkan, adalah litar kereta drag sebagai salah satu usaha mengubah Tuaran menjadi lebih maju dengan pelbagai keperluan asas.
Selain itu, laluan di Jalan Tuaran – Tenghilan antara Bulatan Berungis sehingga ke Batangan turut dinaik taraf ke jalan dua hala membabitkan empat lorong.
Manakala Projek Lebuhraya Pan Borneo dari Serusup, Tuaran ke Binturu, Kota Belud juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam dua tahun lagi.
“Apabila siap kelak, penduduk di Penimbawan dan Kampung Baru-Baru tidak perlu lagi melalui kawasan Ambong, Kota Belud,” katanya.
Sementara itu, beliau menyatakan keyakinan memperolehi jumlah majoriti daripada seramai 1,918 pengundi berdaftar di PDM Indai yang akan memilihnya pada 29 November ini, untuk mencapai kemenangan PRN Sabah Ke-17 di DUN Sulaman. – SABAH MEDIA



