Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menafikan tuduhan tular kononnya beliau tidak memerlukan sokongan masyarakat Bugis, menyifatkannya sebagai fitnah jahat yang bertujuan memecah-belahkan rakyat.
Menurut Nizam, tuduhan itu jelas menunjukkan taktik pihak tertentu yang semakin terdesak menjelang hari pengundian, sehingga sanggup memainkan sentimen perkauman untuk mengelirukan pengundi.
“Isu tular ini satu fitnah yang sangat jelas. Ia tidak pernah keluar daripada mulut saya. Semua orang di Tawau tahu saya berkawan baik dengan semua suku kaum.
“Ini taktik terdesak kerana mereka sudah kehabisan modal,” katanya ketika ditemui di majlis ceramah perdana calon GRS N.68 Apas, hari ini.
Beliau berkata, tindakan mengaitkan komuniti Bugis, salah satu komuniti terbesar di Tawau, adalah percubaan sengaja untuk mencipta persepsi buruk terhadap dirinya serta menimbulkan perpecahan masyarakat.

Nizam menegaskan rekod kerjanya membuktikan beliau sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua kaum, termasuk memastikan Festival Kebudayaan Antarabangsa diteruskan di Tawau.
“Saya sendiri berjumpa pimpinan negeri bagi mendapatkan kelulusan festival itu yang menghimpunkan pelbagai suku kaum. Jadi bagaimana saya boleh dituduh tidak mahu sokongan komuniti tertentu?” ujarnya.
Susulan fitnah itu, Nizam mengesahkan beliau telah mengarahkan peguam membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyebarkannya.
“Saya mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bukan fitnah kecil, tetapi fitnah yang cuba memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menempelak budaya politik kasar yang dibawa masuk oleh pihak luar yang tidak memahami realiti politik Sabah.
“Ada pihak dari luar cuba membawa budaya menghentam peribadi dan sentuh soal keturunan. Ini bukan budaya kita. Orang Sabah tidak menerima politik seperti itu,” tegasnya.
Nizam menyeru rakyat menolak pihak yang cuba menanam politik perpecahan yang boleh mengugat keharmonian kaum.
“Walaupun diserang fitnah, kempen kami tetap lancar dan sokongan pengundi kekal kukuh. Saya percaya pengundi Apas matang dan tahu membezakan fakta dan fitnah, serta melihat siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya.



