Oleh Normimie Diun / foto Sabah Media/ Yusof Mohamad/ Zainal Zamzuri
RANAU: Majoriti penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang mahu kesinambungan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diteruskan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Tinjauan Sabah Media di Kampung Gunsapou dan Kampung Pugi mendapati rata-rata penduduk memilih untuk bersama GRS kerana pelbagai kemudahan asas yang telah dibawa ke kawasan mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Ketua Kampung Gunsapou, Rukimin Sambalik, 60, berkata beliau melihat perubahan ketara apabila pelbagai projek dinaik taraf termasuk jambatan, jalan raya, mini dewan, surau, rumah penjaga surau serta pewartaan tanah seluas 45 ekar untuk kampung itu.
“Selepas melihat semua pembangunan ini, saya tidak pergi ke mana-mana lagi selain GRS yang benar-benar membawa kemajuan ke kampung kami. Terima kasih kepada GRS, khususnya YAB Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan mantan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang banyak membantu rakyat di kawasan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk Gunsapou, Rambanu Matinggi, 60, turut menzahirkan rasa penghargaan atas kemudahan yang disediakan kerajaan.
Di Kampung Pugi, Jail Kandayon, 61, berkata beliau menyokong GRS kerana parti itu jelas membawa pembangunan yang amat diperlukan penduduk.

“Saya sokong kerajaan GRS kerana saya nampak GRS dapat bantu kawasan ini, terutama dari segi jalan raya. Itu keutamaan kami. Banyak kemudahan lain yang kami mahu, tapi bagi saya, biarlah jalan raya didahulukan. Terima kasih kepada YAB Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, saya harap beliau terus memperjuangkan pembangunan di kawasan kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk kampung itu, Christer Jail, 33, berharap GRS kekal sebagai kerajaan agar pembangunan di Kundasang dapat diteruskan.

“Kami mahu GRS kekal memerintah supaya pembangunan di tempat kami dapat diteruskan, berterusan dan semakin maju,” katanya.
Bagi Shamsudin Bani, 36, GRS diyakini mampu mencapai kejayaan pada PRU DU Sabah ke-17, sekali gus memastikan pembangunan lebih pesat di Kundasang.

Sementara itu, Suhail Jaudin, 28, berkata sokongannya kepada GRS berpaksikan rekod pentadbiran yang telah menyediakan kemudahan jalan raya dan pembangunan lain untuk penduduk setempat.
“Tentunya kami mahu GRS terus memerintah kerana sudah nampak hasilnya,” katanya.



