Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Arshad Idris yakin sokongan pengundi di kawasan itu 70 peratus memihak kepada beliau selepas seminggu berkempen.
Beliau berkata, keyakinan itu diperolehi hasil lawatan sepanjang tempoh kempen termasuk program yang dilaksanakan sebelum ini di seluruh pelusuk kawasan sejak tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah, hari ini kami menziarahi pesakit di Kampung Tebobon Baru. Walaupun dalam keadaan sakit, mereka tetap menerima kehadiran kami dengan mesra dan bertanya perkembangan kampung mereka.
“Ini menunjukkan hubungan erat kami masih utuh,” katanya.
Menurutnya lagi, sokongan itu menunjukkan sokongan kuat kepada GRS bagi membentuk kerajaan akan datang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan Ziarah Kasih ke beberapa buah rumah penduduk di Kampung Tebobon Baru di sini pada Sabtu.
Mengulas perancangan pembangunan di kawasan berkenaan, Arshad menjelaskan bahawa Tebobon Baru bukan asing bagi dirinya kerana beliau dan pasukannya kerap turun ke kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.
“Apa saja yang diminta oleh penduduk, InsyaAllah kami datang dan lihat sendiri keadaan mereka.
“Kami mahu memastikan semua keperluan kampung ini terus diberi perhatian,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 10 buah kampung berjaya digazetkan sebelum ini tidak termasuk Tebobon Baru yang telah lama mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Mereka kini tidak ragu lagi untuk menetap di sini kerana kelulusan rasmi sudah lama diberikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyukatan kampung baharu dilakukan sendiri dengan turun ke lapangan bersama juru ukur Jabatan Tanah dan Ukur. – SABAH MEDIA



