Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Pelbagai inisiatif keselamatan dan pembangunan yang pernah dilaksanakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Mohamed Razali Razi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau di sini terus diingati penduduk setempat yant kini dilihat membuahkan hasil yang nyata.
Antara usaha yang paling dihargai penduduk ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kampung, yang terbukti berkesan dalam menangani jenayah kecil seperti kecurian.
Seorang penduduk Kampung Warisan, Ruhainah Rustan,44, berkata, sejak CCTV dipasang, kes-kes kecurian dapat dikesan dengan cepat.
“Bila ada CCTV, sekarang kalau ada pencuri kami boleh tahu sudah ke mana dia pergi. Jadi senang kami tangkap. Baru-baru ini pun ada kes, memang kami dapat tangkap,” katanya.
Selain CCTV, beliau berkata, Razali yang mesra dipanggil Datuk Bob turut menyediakan bonggol jalan bagi mengurangkan kelajuan motosikal dan kereta.
Katanya, inisiatif itu sekali gus meningkatkan keselamatan terutama bagi remaja yang baru belajar menunggang atau memandu.
Menurutnya lagi, kampungnya kini lebih teratur kerana wujud biro-biro komuniti seperti Biro Keselamatan dan Biro Kebajikan yang memantau keadaan kampung setiap hari.
“Ada pernah juga orang kena tangkap sebelum ini. Semua ini hasil pemantauan dan sistem keselamatan yang disusun Datuk Bob sejak dulu,” tambahnya.
Selain itu, Ruhainah berkata, bukan sahaja aspek keselamatan, malah Razali turut dikenang kerana menyumbang kepada penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan kampung.
“Antara yang berjaya dilaksanakan ialah baik pulih dewan kampung, membantu keperluan OKU,bantuan kepada warga emas,serta lawatan rumah-ke-rumah untuk menyantuni penduduk yang memerlukan.
“Dewan sudah cantik, kemas dan selesa. Banyak bantuan sudah sampai kepada OKU dan warga emas,” tambahnya lagi.
Selain memastikan keselamatan dan pembangunan kampung, Razali turut dilihat dekat dengan para belia yang banyak membawa program kesukanan di kawasan Darau.
Bagi,Muhaimin Norhissam,22, mengakui banyak program sukan dianjurkan sepanjang tempoh beliau berkhidmat di peringkat komuniti.
“Dulu kami kurang aktif, tapi sekarang banyak aktiviti sukan dia buat. Sebab itu kami aktif di sini.
“Kami harap Datuk Bob boleh jadi wakil rakyat supaya lebih banyak program sukan boleh dijalankan,” katanya.
Menurutnya lagi, antara sukan yang aktif dijalankan termasuklah bola sepak, sepak takraw, bola tampar, karom, dan pelbagai pertandingan komuniti.
Anak jati Kampung Warisan itu turut menaruh harapan agar calon GRS tersebut mendapat kemenangan supaya perubahan dan pembangunan yang telah dimulakan dapat diteruskan.
“Kalau dia menang, banyak lagi perubahan boleh dibuat di kampung,” katanya. – SABAH MEDIA



