HomeIsu tempatanTinjauan tapak pos maritim baharu di Pitas perkukuh keselamatan ESSZONE

Tinjauan tapak pos maritim baharu di Pitas perkukuh keselamatan ESSZONE

Read Time:1 Minute, 23 Second

PITAS : Usaha memperkukuh keselamatan perairan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dipertingkat apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjalankan tinjauan cadangan tapak bagi pembinaan sebuah Pos Maritim baharu di Kampung Pegasaon Mapan-Mapan di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata tinjauan itu penting bagi menilai kesesuaian kawasan tersebut dari aspek keselamatan, keperluan operasi serta faktor logistik sebelum fasa pembangunan dimuktamadkan.

“Sekiranya lokasi ini memenuhi semua kriteria operasi, tindakan susulan akan dibuat untuk meneruskan cadangan pembinaan Pos Maritim ini,” katanya.

Lawatan berkenaan diketuai beliau bersama pegawai kanan ESSCOM termasuk Komander ESSCOM (KEC) Datuk Victor B. Sanjos, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, serta Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed.

Turut serta ialah pegawai dari Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (Pitas) dan Pejabat Daerah Pitas, bagi memberikan input teknikal berkaitan sempadan tanah, status rizab serta urusan pentadbiran setempat.

Dalam sesi tinjauan itu, Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Kudat, Lefternan Madya Maritim Muhammad Afify Ahamad, menyampaikan taklimat mengenai potensi operasi pos berkenaan termasuk keperluan infrastruktur, aspek logistik serta fungsi keselamatan maritim yang dirancang.

Cadangan penubuhan Pos Maritim Kampung Pegasaon Mapan-Mapan dijangka menguatkan rangkaian keselamatan maritim di Pitas dan kawasan perairan sekitarnya.

Pos tersebut kelak akan memantapkan usaha mengekang jenayah rentas sempadan, aktiviti penyeludupan serta memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap optimum di kawasan ESSZONE.

Maritim Malaysia turut menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama rapat dengan ESSCOM dan agensi keselamatan lain demi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara, sekali gus menjamin kesejahteraan penduduk setempat. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Exploring Toxicology 3.0 tingkat kesedaran awal toksikologi dalam kalangan murid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular