KINABATANGAN: Gelombang sokongan rakyat terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin jelas apabila hampir 2,000 penduduk membanjiri Ceramah Perdana GRS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kelmarin, menjadikan program itu antara siri kempen paling mendapat sambutan setakat ini.
Suasana penuh bersemangat dengan laungan sokongan dan tepukan gemuruh itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan GRS serta agenda pembangunan yang dibawa ke kawasan pedalaman seperti Lamag.
Calon GRS bagi DUN Lamag, Johainizamshah Johari, dalam ucapannya menegaskan komitmen gabungan itu untuk terus memacu kemajuan dan kesejahteraan penduduk kawasan berkenaan.
“Kami sentiasa mendengar suara rakyat. GRS bertekad membina Lamag yang lebih maju, stabil dan terjamin.
“Saya mohon sokongan semua pengundi untuk memilih calon nombor 02 demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Ceramah tersebut turut menyerlahkan kesepaduan kepimpinan GRS apabila beberapa tokoh utama hadir memberikan sokongan moral, antaranya Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah, Ketua Bahagian STAR Lamag Ismail Zainal, dan Ketua Bahagian PBS Lamag Ali Latif Taha.
Program berkenaan bukan sekadar platform penyampaian maklumat semasa mengenai hala tuju pembangunan Lamag, tetapi juga menjadi ruang bagi rakyat menzahirkan harapan mereka terhadap kesinambungan pentadbiran yang stabil.
Dengan sambutan luar jangka itu, Ceramah Perdana GRS di Lamag memberi isyarat jelas bahawa mood rakyat semakin memihak kepada gabungan tersebut menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).- SABAH MEDIA



