PRN SABAH
HomePRNSabah Akan Jadi Pelopor kepada Industri Ekonomi Biru Di Malaysia - Hajiji

Sabah Akan Jadi Pelopor kepada Industri Ekonomi Biru Di Malaysia – Hajiji

Read Time:1 Minute, 36 Second

TAMPARULI – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan  terus mempelopori agenda pembangunan ekonomi negeri melalui pelancaran satu lagi inisiatif baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru yang bakal diwujudkan di Kudat.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, usaha tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang GRS untuk memperkukuh ekonomi rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Ini inisiatif baru yang kita mahu laksanakan, Taman Perindustrian Ekonomi Biru. GRS saja yang boleh fikir ini. Yang dulu-dulu itu tidak dapat fikir,” katanya ketika berucap di kempen Jelajah Mega Tamparuli di tapak Tamu Pekan Tamparuli disini, hari ini.

Menurutnya ekonomi biru ini bukan lagi terhad kepada hasil laut semata-mata, tetapi melibatkan sekurang-kurangnya 14 industri yang merangkumi tenaga boleh diperbaharui berasaskan laut, industri rumpai laut, pemprosesan makanan laut bernilai tambah, bioteknologi marin, logistik maritim, pembuatan peralatan laut dan pelbagai sektor lain yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap potensi Sabah sebagai peneraju ekonomi biru turut disahkan di peringkat Persekutuan.

“Sabah ini mempunyai potensi ekonomi biru sebanyak 75 peratus, lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain termasuk Sarawak dan Semenanjung. Ini sudah diakui oleh Perdana Menteri,” tambahnya.

Dengan kedudukan geografi, sumber laut yang luas serta tumpuan pembangunan baharu, Sabah kini berada pada landasan untuk menjadi pusat rujukan ekonomi biru negara.

Justeru, Pengerusi Gagasan Rakyat Sabah itu turut menyeru rakyat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November, bagi memastikan kesinambungan pembangunan ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa beberapa calon GRS akan mencatat kemenangan selesa.

“Calon GRS, Dr Bonaventure Boniface , mesti menang dengan bergaya. Begitu juga Datuk Joniston Bangkuai yang akan meraih kemenangan di kawasan Kiulu. Manakala kerusi Sulaman, Pantai Dalit ini akan menjadi empat kerusi tambahan yang penting untuk kita membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mandat rakyat amat penting bagi memastikan projek-projek strategik seperti Taman Perindustrian Ekonomi Biru dapat dilaksanakan sepenuhnya demi manfaat jangka panjang untuk Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular