Oleh Raul G
TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengecam dakwaan pihak yang menyatakan kerajaan negeri tidak perlu menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu menegaskan bahawa pandangan sedemikian merupakan pendekatan politik yang tidak tepat dan tidak wajar diterima rakyat.
Menurutnya, hubungan baik antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan adalah asas penting untuk memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kestabilan politik memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat. Kestabilan politik, kita mesti bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Ada rakyat mempersoalkan ‘kenapa tidak solo?’ (gabungan parti tempat Sabah) Kita mesti ingat sejarah perjuangan di Sabah ini, politiknya.
“Kita dalam satu negara Malaysia, kita mesti ada kerjasama yang erat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Pekan Kiulu.

Pada masa sama, Hajiji turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke Tuaran pada Khamis ini, sebagai komitmen berterusan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya ada bercakap dengan beliau.. (Anwar), tujuan utama bukan sahaja kempen, tetapi menunjukkan kepada Malaysia dan rakyat Sabah, Kerajaan Persekutuan menyokong kerajaan negeri Sabah yang kita pimpin menerusi GRS.
“Gaduh-gaduh buat apa? Ini negara kita. Kita jaga negeri kita, kita juga jaga negara kita. Jangan kita jaga kepentingan negeri, tetapi negara kita tidak peduli.
“Itu tidak boleh. Kita mesti mahu jaga kedua-duanya. Ini negara kita, negara Malaysia,” katanya.
“Apa yang penting, kita dominan. Parti tempatan GRS menjadi peneraju kerajaan negeri Sabah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hajiji turut mempersoalkan slogan ‘Selamatkan Sabah’ yang digunakan oleh Parti Warisan dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Hajiji mendakwa, slogan yang digunakan oleh Warisan itu hanyalah untuk menyelamatkan diri mereka.
“Saya nampak di jalan raya (poster) ‘Selamatkan Sabah’. Apa yang (mahu) diselamatkan Sabah? Saya setuju selamatkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada masuk ke Sabah.
“Kita mahu selamatkan Sabah daripada ancaman luar, daripada negara jiran kita yang masih ada tuntutan kepada negeri Sabah.
“Sebenarnya mereka gunakan slogan ini untuk menyelamat diri mereka. Mereka ternyata gagal dalam perjuangan mereka atau semasa memerintah negeri Sabah. Dua tahun setengah, gagal. Apa dia buat dua tahun setengah? Tiada..”
Selain itu, hajiji juga mengulas isu kemajuan yang dibawa oleh Mohd Shafie di Sabah ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini.
“Ada dia buat jalan raya luar bandar di Sabah yang boleh kita banggakan? Bekalan elektrik luar bandar? Bekalan air luar bandar Sabah? Tiada..” dakwanya.
Pada sidang media itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, seperti digariskan dalam manifesto GRS, merupakan langkah terbaik bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa telus dan berintegriti.
“Kita setuju had untuk seseorang Ketua Menteri hanya dua penggal… bagi kita itu yang terbaik. Tak perlu lama-lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto Warisan yang tidak menyentuh langsung mengenai had penggal jawatan Ketua Menteri, berbeza dengan pendirian jelas GRS yang telah mengumumkan dasar berkenaan lebih awal.
Selain GRS, Barisan Nasional (BN) juga menawarkan aku janji had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan ketua pentadbiran negeri jika parti itu diberi mandat pada PRN ke-17.



