SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hazem Mubarak Musa, bertekad untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17, dengan fokus memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.
Hazem berkata, sambutan hangat penduduk setempat dalam setiap program kempen menjadi pemangkin semangatnya.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menang dan menjadikan Sungai Manila sebagai penyumbang kerusi buat GRS,” katanya.
Beliau mengakui persaingan sengit daripada calon lain, tetapi menekankan bahawa rakyat akan membuat penilaian mereka sendiri.
“Saya berharap mereka memilih GRS bagi memastikan pembangunan dan bantuan yang telah serta akan dilaksanakan dapat diteruskan,” ujarnya.
Hazem turut menekankan manifesto GRS yang baru dilancarkan sebagai bukti komitmen gabungan itu membela nasib rakyat.
Antara fokus utama manifesto ialah wang pendahuluan RM500,000 untuk belia memiliki rumah dan bantuan khas kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan tahun hadapan. Untuk rakyat menikmatinya, adalah wajar mengekalkan GRS sebagai pemerintah. Perkara seumpama ini tidak dilakukan oleh parti lain,” tegasnya.
Hazem turut bertekad untuk terus berkhidmat kepada penduduk Sungai Manila selain mengingati pesanan ayahandanya agar sentiasa bekerja kuat dan membela nasib rakyat. – SABAH MEDIA



