PRN SABAH
HomePRNN.68 APASKeserasian kerajaan Sabah, Persekutuan terbukti beri manfaat, Nizam yakin GRS mampu pertahan...

Keserasian kerajaan Sabah, Persekutuan terbukti beri manfaat, Nizam yakin GRS mampu pertahan DUN Apas

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata 

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan hubungan serasi antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan merupakan faktor utama yang menggerakkan pembangunan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam Ceramah Perdana di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tawau Lama, beliau berkata, keserasian pentadbiran antara GRS dan Kerajaan Perpaduan membolehkan Sabah menikmati limpahan pelaburan, peningkatan hasil, dan penyelesaian isu dasar yang telah tertangguh sekian lama.

“Sambutan pengundi di Apas setakat ini sangat memberangsangkan, termasuk daripada pengundi kali pertama yang semakin memahami kepentingan kestabilan politik dalam merancakkan pembangunan negeri.

“Momentum sokongan itu diyakini mampu diteruskan sehingga hari pengundian,” katanya ketika ditemui media selepas program tersebut, malam tadi.

Beliau menegaskan bahawa dasar di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 memperlihatkan bagaimana kerjasama Kerajaan Sabah dan Persekutuan memanfaatkan golongan muda melalui pelbagai program pembangunan modal insan, bantuan keusahawanan dan sokongan pendidikan.

Menurutnya, komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperkenalkan dana pelaburan masa depan anak Sabah juga menunjukkan bagaimana hubungan baik dengan Putrajaya membolehkan negeri menerima sokongan dasar dan kewangan yang konsisten.

Menjawab dakwaan parti lawan bahawa Sabah masih ‘dikawal’ oleh Putrajaya, Nizam menyifatkannya sebagai retorik politik pihak yang tidak mampu bergerak sendiri dan cuba menutup kelemahan dengan menimbulkan persepsi negatif.

Katanya, apa yang terbukti ialah Sabah menikmati peningkatan hasil sehingga hampir RM7 bilion dan rizab mencecah RM8 bilion iaitu pencapaian yang menurutnya mustahil dicapai tanpa kesefahaman dua hala.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa 13 perkara di bawah MA63 berjaya diselesaikan berkat kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan.

Nizam berkata, projek yang dirancang di Apas, termasuk bandar baharu, pembinaan rumah PPR dan stadium mini juga memerlukan kesinambungan hubungan harmoni dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi bahawa kestabilan politik adalah asas kepada kemajuan, dan Sabah tidak boleh kembali kepada era ketidakpastian yang pernah menghalang pembangunan negeri.

“Apa yang rakyat lihat hari ini ialah hasil nyata daripada keserasian pentadbiran. Itulah kunci kepada masa depan Sabah,” ujarnya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular