HomePRNPersiapan pengundian awal PRU Sabah berjalan lancar

Persiapan pengundian awal PRU Sabah berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh Rhea Dharmin

PUTATAN :  Persiapan akhir menjelang proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 di beberapa lokasi di negeri ini berjalan lancar.

Ia termasuklah di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dengan kesemua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat memastikan segala keperluan di pusat mengundi berada dalam keadaan terbaik.

Sejak jam 2 petang, petugas SPR dilihat menyusun meja, menyiapkan petak undi serta menampal notis dan poster di dalam dan luar bangunan.

Beberapa kawasan turut dipasang pita rintangan bagi memastikan pergerakan esok berjalan teratur dan mengikut prosedur.

Turut membantu dalam persiapan itu adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta guru-guru Sekolah Kebangsaan Agama Rakyat Lok Kawi yang memantau kelancaran tugasan petugas SPR.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Masawi Salleh, ketika ditemui menyatakan rasa puas hati dengan kelancaran persiapan tersebut.

“Persiapan untuk pusat pengundi ini begitu baik. Segalanya disediakan secara teratur dan teliti. Kita melihat tiada sebarang masalah untuk proses pengundian hari esok,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan 25 November sebagai tarikh rasmi pengundian awal bagi PRU Sabah ke-17.

Bagi kategori pengundi awal, sebanyak 11,697 anggota tentera dan pasangan direkodkan, manakala kategori polis melibatkan 12,729 orang, yang kesemuanya dijadualkan mengundi esok.

Proses pengundian awal ini dijangka berlangsung dalam suasana terkawal dengan pelaksanaan penuh prosedur operasi standard bagi memastikan kelancaran dan integriti pilihan raya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular