HomePRNN.22 TANJUNG ARUPRU Sabah : Chan tawar aspirasi pembangunan seimbang untuk Tanjung Aru

PRU Sabah : Chan tawar aspirasi pembangunan seimbang untuk Tanjung Aru

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Calon HARAPAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, tampil dengan rangka pelan pembangunan menyeluruh yang menumpukan kepada pendidikan, infrastruktur, kebajikan sosial dan kemudahan digital, demi memastikan Tanjung Aru terus maju tanpa sesiapa tercicir daripada arus pembangunan.

Berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong (2013–2018), Ahli Parlimen Kota Kinabalu sejak 2018 serta memegang jawatan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023, Datuk Chan menyifatkan pemilihannya sebagai calon DUN Tanjung Aru sebagai peluang penting untuk memperkukuhkan lagi pembangunan di kawasan tersebut.

“Dengan peranan saya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri, manfaat kepada rakyat boleh digandakan.

“Lebih banyak dasar, bantuan dan program dapat disalurkan secara terus kepada penduduk Tanjung Aru,” katanya.

Beliau memberi fokus utama kepada pendidikan, khususnya cabaran perjalanan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang perlu merentas laut setiap hari.

Bagi memastikan keselamatan dan memudahkan urusan ke sekolah, beliau berjanji menyediakan tambang bot percuma sepanjang musim persekolahan dimana kos operasi ditanggung sepenuhnya sebagai usaha memastikan anak-anak pulau tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“Kita mahu anak-anak Pulau Gaya berjaya. Pendidikan akan mengubah masa depan keluarga dan komuniti mereka,” katanya.

Mengulas kesesakan trafik yang semakin membebankan penduduk, beliau menegaskan keperluan penyelesaian segera memandangkan Pantai Tanjung Aru kini menjadi tumpuan utama pelancong tempatan dan antarabangsa.

Beliau akan bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mewujudkan laluan pintas baharu yang dapat mengurangkan tekanan trafik yang kini hanya bergantung pada satu laluan utama.

Jalan baharu itu dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk selain menyokong perkembangan sektor pelancongan secara lebih tersusun.

Dalam aspek kebajikan sosial, Chan mahu memastikan golongan rentan seperti nelayan, pemandu e-hailing dan penghantar makanan mendapat perlindungan sewajarnya.

Selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, beliau menawarkan pendaftaran percuma bagi pendaftaran kali pertama Skim LINDUNG Kendiri.

Langkah tersebut akan memastikan pekerja gig di Tanjung Aru tidak tercicir daripada perlindungan sosial asas yang penting untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Janji saya jelas – memastikan golongan rentan sentiasa dibela dan tidak terpinggir,” katanya.

Sementara itu, masalah internet perlahan dan tidak stabil di Tanjung Aru turut menjadi keprihatinan beliau.

Beliau turut mengakui kerap berdepan situasi tersebut ketika berada di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau komited memperjuangkan peningkatan rangkaian 5G yang lebih stabil dan pantas agar penduduk dapat menikmati kemudahan digital yang setara dengan kawasan lain, sekali gus menyokong ekonomi tempatan, pendidikan dan produktiviti harian.

Dengan tekad, pengalaman dan rangka pelan yang menyasar kepada keperluan sebenar rakyat, Chan yakin aspirasi pembangunan seimbang ini mampu membawa perubahan nyata kepada Tanjung Aru.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan kawasan tersebut perlu bersifat inklusif – memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kemajuan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan merancakkan potensi ekonomi setempat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama sekolah, ibu bapa perkukuh kejayaan murid SK Rampayan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular