PRN SABAH
HomePRNN.18 INANAMRoland Chia tawar 10 aspirasi pembangunan untuk Inanam pada PRU Sabah

Roland Chia tawar 10 aspirasi pembangunan untuk Inanam pada PRU Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 10 aspirasi pembangunan menjadi antara tawaran calon Bebas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Datuk Dr Roland Chia Ming Shen pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17.

Roland yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam dikawasan itu berkata, aspirasi tersebut dirangka berdasarkan pengalaman beliau sebagai ADUN Inanam dari 2013 hingga 2018 serta keperluan semasa kawasan itu, yang melibatkan pembangunan infrastruktur, penyelesaian masalah setempat dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata fokus utamanya ialah memastikan isu-isu berbangkit yang sekian lama membebankan penduduk Inanam dapat ditangani melalui perancangan sistematik dan pelaksanaan yang lebih berkesan.

Menurutnya, antara keutamaan ialah menyokong usaha memperkukuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping memperjuangkan status Inanam sebagai sebuah daerah penuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dipercepat dan diselaraskan dengan lebih baik.

Dr Roland turut menekankan kepentingan menangani kesesakan trafik di kawasan-kawasan utama seperti Jalan Tuaran dengan cadangan pembinaan laluan alternatif, naik taraf persimpangan dan sistem pengawalan aliran trafik yang lebih moden.

Selain itu, beliau mencadangkan pelan mitigasi banjir yang merangkumi kerja pengorekan parit, penyelenggaraan saliran, pembersihan sungai serta pelaksanaan kajian teknikal menyeluruh bagi mengurangkan risiko banjir kilat di beberapa kawasan terjejas.

Sementara itu, Roland berkata, pembangunan dan pengukuhan kawasan perindustrian Inanam akan diberi perhatian, termasuk menaik taraf infrastruktur industri serta menarik pelaburan baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Usaha memperkasa pelancongan berasaskan komuniti, budaya dan alam semula jadi turut digariskan sebagai salah satu komponen penting dalam mengembangkan ekonomi setempat.

Aspirasi lain termasuk menaik taraf kemudahan awam bandar dan luar bandar seperti jalan raya, pencahayaan, tandas awam, pusat komuniti dan ruang rekreasi, di samping penubuhan Tabung Dana Kebajikan Inanam bagi membantu warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik dan golongan kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Dr Roland turut menggariskan inisiatif penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui latihan kemahiran, kerjasama industri dan program keusahawanan.

Beliau juga berhasrat mewujudkan Eco-Green Industrial Park sebagai zon perindustrian mesra alam berasaskan teknologi hijau, kitar semula dan industri rendah karbon.

“Aspirasi ini dirangka berdasarkan keperluan rakyat dan potensi pembangunan Inanam. Matlamat saya ialah memastikan kawasan ini terus bergerak maju dengan perancangan yang lebih tersusun serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya.

Dr Roland berkata beliau komited membawa suara rakyat Inanam secara berprinsip dan memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berperingkat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular