SANDAKAN: Tindakan bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Sholehuddinulfatih Mardin untuk berkempen bersama Barisan Nasional (BN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata ahli Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Rahmat Hidayat.
Rahmat yang juga Ketua Pemuda cawangan Tanjung Pisau berkata, penyertaan Sholehuddinulfatih dalam jentera parti lawan sudah dijangka berdasarkan tindak-tanduk beliau sebelum ini.
“Ia bukan kejutan. Hanya dia seorang sahaja yang memilih untuk menyertai jentera parti lawan.
“Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan PGRS sama sekali tidak tergugat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Rahmat berkata lagi, ketika memegang jawatan sebagai ketua pemuda bahagian sebelum ini, Sholehuddinulfatih sudah menunjukkan tindakan yang bercanggah dengan keputusan bahagian.
Malahan, jelasnya, bekas PPM itu juga tidak pernah turun membantu bahagian yang dipimpin oleh Ketua Bahagian, Hazem Mubarak Tun Musa.
“Beliau enggan mengakui Hazem selepas diumumkan sebagai Ketua Bahagian PGRS.
“Jadi tidak hairan apabila hari ini dia juga enggan menerima hakikat bahawa Hazem dipilih sebagai calon GRS,” katanya.
Rahmat tetap mengucapkan terima kasih atas sumbangan Sholehuddinulfatih sebelum ini, namun menegaskan bahawa Pemuda PGRS berpegang kepada prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada parti.
“Pemuda PGRS Sungai Manila akan terus berdiri teguh dan memberikan sokongan penuh kepada Hazem Mubarak sebagai calon GRS dan Ketua Bahagian PGRS Sungai Manila,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PGRS Cawangan Peringkat Satu, Mohd Faizul Basrah, berkata tindakan Sholehuddinulfatih itu tidak sedikit pun menjejaskan sokongan pemuda terhadap Hazem.
Sebaliknya, katanya, langkah tersebut memberi ruang kepada jentera pemuda untuk bergerak dengan lebih tersusun dan selesa.
“Tindakan dia itu langsung tidak menggugat jentera pemuda, malah kami kini bergerak dengan lebih selesa,” katanya.



