HomePRNBerbeza parti, bukan halangan untuk hidup harmoni sebagai jiran

Berbeza parti, bukan halangan untuk hidup harmoni sebagai jiran

Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD : Meskipun berlainan parti, namun bagi dua sahabat baik di Kampung Jawi-Jawi di sini telah membuktikan bahawa perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk memutuskan hubungan atau mencetuskan ketegangan dalam komuniti.

Riduan Ambang, 46, penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), dan Mustapha Jali, 42, penyokong Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tinggal bersebelahan rumah namun kekal akrab dan saling menghormati pilihan masing-masing.

Menurut Riduan, perbezaan pendapat bukan halangan untuk hidup harmoni sebagai jiran.

Mustapha dan Riduan dihadapan rumah mereka

“Tiada sebab untuk berpaling muka dengan penyokong parti lain. Pilihan raya lima tahun sekali saja, seperti satu perayaan.

“Tidak perlu memburukkan calon lain, cukup ceritakan kelebihan calon kita. Selepas berkempen, kita kembali kepada kehidupan biasa, menghadiri kenduri dan hidup berjiran seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.

Mustapha yang turut membuka rumahnya sebagai markas parti berbeza, sependapat bahawa politik tidak wajar memecahbelahkan masyarakat.

“Saya yakin siapa pun yang menang nanti, semua rakyat akan tetap dilayan sama rata. Tidak perlu taksub dengan parti masing-masing.

“Ketika berkempen, tunjukkan sikap matang dan keterampilan yang baik supaya masyarakat menilai parti kita dari sudut positif,” ujarnya.

Katanya, semua parti hakikatnya membawa misi serupa iaitu membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Kisah persahabatan mereka menjadi contoh bahawa kematangan politik bermula dari sikap toleransi dan saling menghormati, bukan dari perbezaan warna bendera yang dipilih.

Pilihan raya seharusnya menjadi ruang mempererat hubungan, bukan meretakkannya kerana demokrasi hanya datang lima tahun sekali, tetapi jiran dan sahabat kekal setiap hari. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular