PRN SABAH
HomeUtamaHargai keunikan Kundasang

Hargai keunikan Kundasang

Read Time:3 Minute, 14 Second

KUNDASANG: Guru-guru dan masyarakat secara amnya perlu menyedarkan para anak-anak sekolah di sini akan keistimewaan keunikan alam semula jadi yang wujud di kawasan ini yang merupakan sebahagian daripada Unesco Global Geopark.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk P Geol Zamri Ramli, berkata kesedaran ini penting kerana ramai yang membesar di kawasan ini mungkin tidak menyedari nilai unik Kundasang.

“Keunikan geologi tanah tinggi menjadikan Kundasang sebuah bilik darjah semula jadi yang luar biasa, dan ia perlu dibanggakan oleh warga setempat. Nilai ini perlu dipupuk sejak usia muda.

“Sebagai masyarakat yang lahir di tempat ini, mungkin ada yang tidak dapat melihat betapa istimewanya kawasan Kundasang ini, namun bagi mereka yang dari luar, kawasan ini begitu unik, dan penduduk di sini amat bertuah,” katanya.

Zamri melancarkan penyerahan Projek SAM di SK Kundasang

Zamri menjelaskan bahawa Kundasang bukan sekadar pekan tanah tinggi, sebaliknya khazanah dunia yang menempatkan batuan intrusif termuda di rantau ini.

“Batuan yang terbentuk kira-kira 8 juta tahun lalu terangkat oleh kuasa bumi, membentuk landskap dramatik yang kita lihat hari ini. Dari struktur batuan, tanah tinggi, lembah subur hingga biodiversiti yang kaya, murid SK Kundasang membesar di tengah-tengah khazanah bertaraf global, satu kelebihan yang tidak dimiliki banyak sekolah lain di Malaysia.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI (SAM) di SK Kundasang pada Selasa.

Menurut Zamri, Program SAM yang diilhamkan oleh Perdana Menteri adalah inisiatif nasional untuk memastikan setiap sekolah termasuk di pedalaman dan kawasan tanah tinggi seperti Kundasang menerima sokongan terbaik demi masa depan pendidikan.

“Pendekatannya ‘whole of nation’: kerajaan, GLC, komuniti dan masyarakat berganding bahu membina masa depan pendidikan.

“Program ini bermula pada April 2025 dan melibatkan 1,000 SAM dengan peruntukan RM100,000, di mana Kementerian Kewangan sebagai agensi peneraju dan ICU JPM sebagai pemantau.

“Melalui inisiatif ini, pendidikan bukan hanya tanggungjawab guru, tetapi seluruh negara. Hari ini, kita menyaksikan nilai itu diterjemah dengan jelas di SK Kundasang,” katanya.

Zamri menambah, program ini berlandaskan enam nilai MADANI — Mampan, Amanah, Daya Cipta, Akhlak, Negarawan dan Ihsan — sebagai asas pembentukan murid yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berwatak mulia, berjati diri dan mampu menjadi pemimpin masa depan.

Beliau turut menegaskan bahawa SK Kundasang bukan asing bagi JMG, kerana sejak dipilih sebagai Sekolah Angkat Geopark pada 2021 di bawah Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp), hubungan erat telah terjalin.

Sejak itu, katanya, JMG bersama Taman-Taman Sabah serta rakan agensi lain berusaha sebaik mungkin, untuk menyokong aspirasi geopark – terutama dalam memperkukuh pendidikan geosains, kelestarian alam sekitar dan penghargaan terhadap warisan geologi.

“Pada tahun 2022, JMG berpeluang melaksanakan projek menaik taraf peralatan dan membaik pulih prasarana Taman Eko-Sains SK Kundasang. Bagi kami, projek ini bukan sekadar membina atau membaiki fasiliti,

“Yang lebih penting ialah memberi murid-murid pengalaman pembelajaran geosains yang lebih hidup, lebih dekat dengan alam, dan lebih menyeronokkan.

“Alhamdulillah, pada tahun 2025 kita sekali lagi dipertemukan dalam kerjasama bermakna melalui Program Sekolah Angkat MADANI,” katanya.

Beliau menambah, JMG telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000, dan beliau sangat menghargai kecekapan serta komitmen pihak sekolah sehingga semua kerja berjaya diselesaikan dengan begitu pantas dan teratur.

“Pelaksanaan Projek SAM ini membuktikan komitmen JMG untuk terus menyokong SK Kundasang sebagai sebuah sekolah progresif, lestari dan berpotensi menjadi model pendidikan geosains serta kesedaran alam sekitar.

“JMG percaya, dengan momentum yang ada, SK Kundasang bukan sahaja menjadi kebanggaan daerah Ranau, tetapi turut menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia.

“Insya Allah, dengan izin Tuhan, JMG akan terus memberi sumbangan kepada sekolah, selagi mampu – terutamanya dari aspek kepakaran teknikal dan profesional dalam bidang geosains serta pemuliharaan sumber bumi,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah Dr Frederick Francis Tating, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Firdaus Lee, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd Kahar, Guru Besar SK Kundasang, Johana Esan Kong, Pengerusi PIBG SK Kundasang, Ramlen Nordin dan lain-lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular