PRN SABAH
HomePRNProses undi awal di Sandakan lancar

Proses undi awal di Sandakan lancar

Read Time:1 Minute, 12 Second

SANDAKAN: Proses pengundian awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting berlangsung lancar di Dewan Sukan Mohd Azim, Rumah Keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini.

Pengundi dalam kalangan anggota tentera mula memenuhi pusat undi seawal jam 8 pagi, dengan seramai 969 anggota TLDM termasuk pasangan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Turut hadir meninjau perjalanan proses undian ialah calon Pakatan Harapan (PH) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chin Kim Hiung.

Secara keseluruhan, sebanyak lapan pusat undi awal dibuka di Sandakan hari ini, membabitkan tujuh DUN iaitu Gum-Gum, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Karamunting, Elopura dan Tanjung Papat.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Karamunting dan Sekong, Karim Abdul Saman, memaklumkan proses undi awal berjalan lancar tanpa sebarang pelanggaran peraturan atau kejadian yang mengganggu kelancaran pilihan raya.

“Setakat ini semuanya teratur, tanpa insiden, dan pematuhan terhadap SOP amat baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut melakukan pemantauan ialah Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar untuk memastikan keseluruhan proses mengundi berada dalam keadaan terkawal.

Bagi kedua-dua kerusi Karamunting dan Sekong, seramai 1,325 pengundi awal melibatkan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing mengundi di tiga pusat yang ditetapkan iaitu Rumah Keluarga TLDM, Dewan Datu Paduka Mat Salleh, Pangsapuri PDRM dan Prospect One Sdn Bhd, Jeti Batu Sapi.

Proses pengundian awal dijangka ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas pengarah JANS tidak terlibat dalam tender – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular