Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Sebanyak tujuh laporan polis telah diterima berkaitan kempen pilihan raya di Tawau dengan lima kertas siasatan dibuka melibatkan beberapa kesalahan di bawah Seksyen Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, daripada lima kertas siasatan yang dibuka, tiga kes adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, satu kes di bawah Seksyen 500/233 Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan kenyataan berunsur fitnah dan satu lagi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, setakat ini empat lelaki telah ditangkap berkaitan kes-kes yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.
“Motif utama melibatkan perbuatan khianat terhadap bendera-bendera parti yang bertanding serta kenyataan berbaur fitnah di media sosial. Semua individu yang ditahan adalah lelaki,” katanya ketika dtemui selepas membuang undi awal di Dewan Serbaguna IPD Tawau, hari ini.
Mengulas mengenai laporan polis melibatkan fitnah dan ugutan terhadap Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan isterinya, Jasmin berkata, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 500/233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Insya-Allah, polis akan menyiasat secara telus sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” jelasnya.
Baru-baru ini, Nizam menerusi peguamnya telah membuat laporan polis berikutan fitnah dilakukan oleh sebuah pemilik akaun Facebook terhadap beliau serta ugutan untuk mencederakan isteri beilau.
Dalam pada itu, Jasmin mengesahkan bahawa tiada jalan ditutup sempena proses pengundian dan pergerakan pada hari mengundi dijangka berjalan seperti biasa.
Menjelang hari pengundian pada 29 November ini, katanya, lebih 436 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di dua pusat pengundian utama, iaitu Dewan Masyarakat Tawau dan Dewan SJK Yuk Chin.
“Penugasan anggota di setiap lokasi telah disusun rapi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang proses pengundian,” katanya.
Menjelang hari pengundian, Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta mengatur masa sebaiknya sebelum bergerak ke pusat mengundi.
“Kami mahu memastikan proses demokrasi pada 29 November nanti berjalan aman dan lancar. Kerjasama semua pihak amat diperlukan,” katanya.



