Oleh Eviana Mazinal
KOTA KINABALU : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 esok.
Pengarah APM Sabah Mohd Yusoff Samad berkata, pihaknya sebelum ini sudah membuat persiapan rapi menjelang hari pengundian (esok) berikutan keadaan cuaca hujan yang berterusan.
“Semua aset darat, air dan komunikasi telah diperiksa dan berada dalam keadaan siap siaga terutama dikawasan-kawasan yang mudah dinaiki air banjir

“Pegawai serta anggota di daerah yang berpotensi terjejas juga telah ditempatkan dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa.
“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) turut diaktifkan bagi tujuan pilihan raya dan Monsun Timur Laut (MTL),” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Yusoff berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan cuaca serta mendapatkan laporan lapangan secara berterusan selaras dengan makluman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Kami juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain bagi memastikan tindakan penyelamatan, pengagihan bantuan dan pemindahan mangsa dapat dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan.
Secara keseluruhannya, persiapan di peringkat negeri dan daerah berada pada tahap kesiapsiagaan penuh, dan APM Sabah komited memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain Mohd Yusoff berkata, setakat ini belum ada sebarang pemindahan atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Walaubagaimanapun terdapat jalan dinaiki air sehingga paras lutut dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil seperti di Kampung Ondou, Kudat, pada jam 8.57 pagi, Jumaat. – SABAH MEDIA



