Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman hari ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya menyempurnakan istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai Canselor universiti itu selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Kehadiran Tun Musa ke istiadat itu sekali gus membawa dimensi baharu dalam landskap akademik negeri, apabila sebelum ini beliau pernah menghadiri istiadat sama dalam kapasiti Ketua Menteri Sabah semasa mentadbir negeri.
Ketika berucap, Tun Musa berkata, istiadat itu bukan sekadar penyerahan pelbagai ijazah namun ia membawa makna sangat mendalam kepada yang graduan yang berjauya menamatkan pengajian.
“Saya menzahirkan rasa syukur kepada majlis ini merupakan kali pertama saya sempurnakan selaku Canselor UMS. Syabas dan tahniah kepada graduan yang diraikan pada pagi ini.
“Mereka (para graduan) telah berjuang dan menghadapi perjalanan yang penuh liku sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-27 bagi sidang satu melibatkan 331 graduan di Dewan Canselor UMS di sini pada Jumaat.
Tun Musa berkata, UMS terus mengukuhkan peranan sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan borneo dan negara secara keseluruhannya.
Katanya, hasil usaha UMS dalam memperkukuh penyelidikan ternyata telah membuahkan hasil yang baik.
“Ini telah membolehkan menempatkan diri sebagai pusat ilmu yang semakin menonjol dan diiktiraf dalam negara malah diperingkat antarabangsa.
“Sebagai contoh, pada tahun 2024 sahaja, UMS menerima geran penyelidikan penting yang membuktikan sokongan terhadap usaha inovasi dan pemerkasaan penyelidikan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Tun Musa berkata, Kerajaan Negeri telah menyalurkan geran sejumlah RM6.5 juta kepada UMS, bagi menyokong projek-projek kajian dan penubuhan kerusi khas yang memartabatkan kajian kebudayaan serta sains tempatan.
“Fakta ini menunjukkan betapa Kerajaan memberi keyakinan kepada keupayaan penyelidikan UMS, terhadap pembangunan mampan serta pengukuhan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran.
“Saya menzahirkan setinggi tahniah kepada seluruh graduan yang telah menamatkan satu fasa dalam kehidupan dan bakal memulakan perjalanan baharu,” katanya. – SABAH MEDIA



