TENOM: Projek tebatan banjir di Tenom akan diteruskan walaupun terdapat beberapa kampung yang terkeluar daripada jajaran utama pembinaan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepada penduduk dalam sesi dialog yang turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah bagi menjawab kebimbangan mereka mengenai pelaksanaan projek tersebut.
“Masyarakat bertanya sama ada projek ini boleh dibatalkan atau tidak, tetapi ini adalah projek kerajaan dan perlu diteruskan. Kita berterima kasih kepada Pengarah JPS Sabah, Ir Siraja Bashora serta Datuk SUT MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong yang turun menjelaskan langkah-langkah seterusnya kepada penduduk,” katanya.
Menurut Jamawi, penduduk turut ingin mengetahui tindakan susulan selepas fasa pertama projek dilaksanakan, termasuk keadaan kampung yang tidak berada dalam jajaran tebatan yang sedang dibina.
“Saya dimaklumkan bahawa JPS akan menyediakan cadangan fasa dua untuk dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Ini supaya kawasan yang terkeluar juga menerima bantuan bagi mengurangkan impak banjir sekiranya paras air naik,” jelasnya.
Katanya, cadangan itu melibatkan pelebaran sungai serta pendalaman tebing di kawasan-kawasan yang sebelum ini merupakan sungai mati tetapi kini membentuk jajaran baharu berbanding lima tahun lalu.
“Jika fasa dua dapat dilaksanakan, saya yakin masalah di kawasan ini akan berkurangan dan penduduk lebih berpuas hati. Mereka sebelum ini merasakan diri menjadi mangsa keadaan, tetapi selepas penjelasan JPS, mereka memahami projek ini perlu diteruskan,” katanya yang juga ADUN Melalap.
Beliau berkata, tiga kampung yang terlibat, antaranya Kampung Ului dan Kampung Makakagas dan Kampung Binaie di mana penduduknya menyuarakan kebimbangan jika banjir besar berlaku pada masa hadapan berikutan wujudnya tembok pemisah antara kampung mereka dan kawasan lain.
“Kajian JPS menunjukkan paras air boleh meningkat 8 hingga 12 inci jika tiada kerja pengorekan bagi menambah kapasiti takungan air. Jadi fasa dua amat penting,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jamawi turut mengulas mengenai pengenalan program Kebun Dapur sebagai inisiatif meningkatkan pendapatan serta tahap sara diri masyarakat kampung.
“Sejak hari pertama saya melapor diri di Kementerian, saya mencadangkan program kebun dapur dan ia diterima baik semua ketua jabatan. Penduduk boleh menanam sayur di tepi rumah, menternak ayam atau kambing sebagai usaha menambah pendapatan,” katanya.
Program itu, jelasnya, akan ditawarkan melalui pakej khas bermula Februari selepas penyediaan bahan dan model kebun selesai.
“Kita juga akan wujudkan pusat pengumpulan hasil supaya lebihan daripada kebun dapur boleh dipasarkan. Dengan kerjasama jabatan-jabatan MAFFI, lebih ramai penduduk kampung akan mendapat manfaat,” katanya.
Jamawi turut berkongsi maklum balas positif masyarakat yang mula bersemangat menjalankan aktiviti kebun masing-masing.
“Ada yang bergurau dengan saya: ‘Bos, mulai hari ini saya tidak main golf kerana saya sudah beli cangkul dan skop.’ Ini menunjukkan program ini memberi impak kepada kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan program berkenaan akan terus diperkasakan, termasuk usaha memperluas idea baharu supaya lebih ramai rakyat merasai fungsi serta peranan jabatan di bawah kementeriannya.



