LAHAD DATU: Tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan dan agensi penyelamat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) terus diperkasa menerusi pelaksanaan Latihan Medical First Responder (MFR).
MFR itu adalah hasil kerjasama dua hala antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) serta Civil Military Support Element (CSME) dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Latihan yang berlangsung selama lima hari bermula 1 Disember lalu itu memberi penekanan khusus terhadap pengurusan risiko kecemasan, terutama dalam menghadapi senario bencana alam dan operasi bantuan kemanusiaan, melibatkan pendekatan teori dan latihan praktikal.
Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, latihan tersebut penting bagi memastikan anggota keselamatan dan penyelamat sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, selain meningkatkan pengetahuan serta pengalaman sebenar di lapangan.
“Latihan seperti ini amat penting bagi memperkukuh keupayaan respon awal anggota terhadap sebarang insiden kecemasan, termasuk bencana alam dan situasi kemanusiaan yang boleh berlaku tanpa diduga,” katanya dalam kenyataan di sini

Seramai 33 pegawai dan anggota ESSCOM serta agensi keselamatan dan penyelamat terlibat dalam latihan tersebut, termasuk 11 fasilitator daripada SOFLE dan CSME.
Latihan ini dilaksanakan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Lahad Datu.
Antara agensi yang terlibat ialah Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Hospital Lahad Datu serta St. John Ambulans Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan latihan ini turut memperkukuh koordinasi pelbagai agensi melibatkan keselamatan, penguatkuasaan, perubatan dan badan sukarela yang beroperasi di ESS Zone, sekali gus memastikan tindakan lebih tersusun dan efektif apabila berlaku situasi kecemasan.
Majlis perasmian penutupan latihan telah disempurnakan oleh Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin mewakili Komander ESSCOM dan Penasihat Pertahanan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Captain Pasit Somboonpakron dari Tentera Laut Amerika Syarikat.
Secara keseluruhan, latihan bersama ini berjaya dilaksanakan mengikut terma rujukan yang ditetapkan dan memberi impak positif terhadap pembangunan keupayaan anggota serta kesiapsiagaan menghadapi bencana, selain mengukuhkan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.



