KOTA KINABALU: Perjalanan seorang guru dari Tawau, Erni Suliza Basri, menjadi inspirasi apabila beliau berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana dalam pengajian Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), meskipun berdepan pelbagai cabaran sebagai pelajar separuh masa.
Erni Suliza yang lebih mesra dipanggil sebagai Teacher Erni oleh anak muridnya di Sekolah Kebangsaan St. Patrick Tawau berkongsi bagaimana beliau berulang-alik antara Tawau dan Kota Kinabalu hampir setiap minggu demi menghadiri kelas hujung minggu di UMS.
“Cabaran utama saya ialah masa. Saya seorang guru dan pada masa yang sama saya menyambung pengajian, ada minggu tertentu saya terpaksa terbang ke Kota Kinabalu dua hingga tiga kali sebulan,” katanya sambil mengenang komitmen yang perlu diimbangi.
Beliau bekerjasama dengan pihak pentadbir sekolah untuk menyelaraskan jadual dan tugasan agar beliau dapat meninggalkan sekolah lebih awal bagi mengejar penerbangan ke Kota Kinabalu.
Namun di sebalik pengorbanan itu, terdapat satu sumber kekuatan yang tidak pernah pudar iaitu ibu beliau. Menahan sebak, Erni menyifatkan wanita itu sebagai inspirasi hidupnya.
“Apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk ibu saya, ibu saya bukan orang senang dan tidak berpendidikan tinggi tetapi beliau sentiasa berusaha untuk kami adik-beradik.
“Ibu berkata biarlah dia kekurangan, asalkan kami adik beradik berjaya,” ujarnya sambil menahan air mata.
Selain itu, anak murid Erni turut menjadi pendorong utama beliau. Setiap minggu sebelum berangkat ke kelas di UMS beliau akan memohon maaf kepada muridnya kerana terpaksa pulang awal untuk mengejar penerbangan. Namun reaksi muridnya sering menyentuh hati.
“Dorang terkejut, teacher pun belajar macam kami?” katanya sambil tersenyum.
Bagi Erni, kecintaan terhadap ilmu membuatkan segala penat lelah tidak terasa dan berasa teruja setiap kali menghadiri kelas.
Dalam perjalanan kerjayanya, Erni pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Tokoh Anti Dadah peringkat kebangsaan. Namun bagi beliau, pencapaian terbesar adalah menjadi guru yang lebih baik setiap hari.
Selepas menamatkan sarjananya, Erni kini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD di UMS, institusi yang dekat di hatinya.
“Saya bukan saja jatuh cinta dengan bidang ilmu, tapi dengan para pensyarah dan komuniti UMS sendiri. Walaupun kami pelajar separuh masa, hubungan kami rapat seperti keluarga,” katanya.



