PRN SABAH
HomeUtamaHak 40 peratus Sabah perlu dilaksana mengikut perlembagaan - SLS

Hak 40 peratus Sabah perlu dilaksana mengikut perlembagaan – SLS

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan berhasrat memuktamadkan parameter teknikal berkaitan hak tuntutan 40 peratus hasil Sabah menjelang pertengahan Januari 2026.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata SLS mengakui pentingnya kejelasan berhubung kaedah pengiraan, jumlah sebenar serta struktur pembayaran, kerana kejelasan tersebut menjadi asas kepada pelaksanaan yang berkesan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil tersebut “bukan geran budi bicara” dan tidak boleh dilayan sebagai keputusan dasar semata-mata.

“Hak ini berpunca daripada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia, dan mencerminkan kedudukan fiskal Sabah yang tersendiri dalam Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazim menambah bahawa sebarang usaha untuk menentukan parameter teknikal atau pentadbiran mesti dilaksanakan secara ketat sebagai kewajipan perlembagaan, bukan rundingan mengenai pemberian manfaat.

“Perincian mekanisme pelaksanaan mungkin memudahkan pembayaran, namun ia tidak boleh mengurangkan, menangguhkan, atau mentakrif semula hak yang wujud sebagai hak perlembagaan.

“Perbincangan antara kerajaan mengenai pelaksanaan berfasa atau penyusunan pentadbiran boleh berlaku, tetapi perbincangan itu tidak mengubah sifat undang-undang hak tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa prosiding rayuan berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah masih berjalan, dan urusan mahkamah adalah terpisah daripada perbincangan eksekutif mengenai pelaksanaan.

“Prosiding undang-undang ini telah dimulakan demi kepentingan awam, bagi memastikan kepastian undang-undang, kesetiaan kepada Perlembagaan, serta ketelusan dalam menguruskan hak Sabah.

“Sabah Law Society akan terus memantau perkembangan dengan dekat dan kekal komited untuk menegakkan Perlembagaan, mempertahankan kedaulatan undang-undang, serta memastikan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dihormati dari segi undang-undang dan amalan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ewon Benedict Lawat KKIP, Perkukuh Halatuju Pembangunan Industri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular