TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat serta peniaga kecil sayur-sayuran di Tamu Pekan Tenom, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu turun bertemu komuniti tersebut sebagai tanda penghargaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 baru-baru ini.
“Ini merupakan kali kedua saya menyantuni para penyokong saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat DUN Melalap yang telah menyokong saya,” katanya ketika ditemui.
Dalam lawatan itu, Jamawi yang ditemani isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim turut mengadakan pertemuan ringkas dengan Kapitan Cina di Kedai Kopi Soon Heng bagi mendengar pandangan serta isu setempat yang dibangkitkan masyarakat Cina.

Sementara itu, dalam acara berasingan, beliau turut merasmikan majlis penutupan Klinik Sepak Takraw Akademi ASTAKA Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom selain menyaksikan perlawanan akhir Liga Super Tenom Piala Jamawi Jaafar (JJ) yang dianjurkan oleh JJ Football Club dengan kerjasama MRZ Production, Berita Sukan Tempatan dan Karnival Melalap Anak Muda berlangsung di Kompleks Sukan Tenom.
PRU DU Sabah ke-17, Jamawi memperoleh majoriti 525 undi dalam percubaan keduanya merebut kerusi DUN Melalap.
Beliau berkata, laluan kemenangan bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi berdepan tujuh calon lain.
Beliau menyifatkan kemenangan beliau sebagai hasil kerja keras dan komitmen seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan calon.
Turut hadir ialah Ketua Daerah DUN Melalap, Tusib Tulas; Kaptian Chong Neng Choon, Kapitan Chung Kiam Fui, Kapitan Lai Foon Han dan Kapitan Michael Chu Siew Kok.



