KOTA KINABALU: Aspek keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan jeti pelancongan di sekitar bandar raya ini perlu diberi perhatian serius selepas beberapa fasiliti dikenal pasti berada dalam keadaan kurang memuaskan dan memerlukan tindakan segera.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyelenggaraan berterusan amat penting bagi menjamin keselamatan pelancong serta pengusaha bot yang menggunakan jeti sebagai laluan utama ke pulau-pulau peranginan.
“Beberapa kemudahan didapati memerlukan penyelenggaraan segera.
“Isu keselamatan tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan nyawa dan kesejahteraan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa jeti pelancongan utama, termasuk Jesselton Point, Jeti Taman-Taman Sabah serta South Jetty milik Suria Capital yang sedang dalam pembinaan di sini pada Ahad.
Dalam lawatan sama, Jafry turut meninjau keadaan Pulau Sulug, khususnya kuarters kakitangan Taman-Taman Sabah yang didapati uzur, rosak dan tidak lagi berada dalam keadaan selamat untuk didiami.
Beliau menegaskan bahawa isu kebajikan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di kawasan pulau serta kawasan konservasi tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Ini adalah isu keselamatan. Saya mahu tindakan segera diambil. Kakitangan yang bertugas di pulau-pulau perlu mempunyai penempatan yang selamat, selesa dan kondusif,” tegas beliau.
Menurutnya, semua isu yang dikenal pasti akan diperincikan segera bersama pihak kementerian dan agensi berkaitan bagi merangka penyelesaian jangka pendek serta pelan tindakan jangka panjang.
Tambah beliau, pemantauan berkala akan diteruskan bagi memastikan semua fasiliti pelancongan di Sabah berada dalam keadaan selamat, terurus dan memenuhi piawaian yang ditetapkan. – SABAH MEDIA



