PRN SABAH
HomeIsu tempatanMaritim Malaysia gagalkan aktiviti pukat tunda di perairan Tabawan

Maritim Malaysia gagalkan aktiviti pukat tunda di perairan Tabawan

Read Time:1 Minute, 13 Second

LAHAD DATU :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah vesel pukat tunda yang didapati beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 2.10 petang pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.

“Pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan tiga warga Indonesia berusia 30 hingga 46 tahun serta seorang kru tempatan berbangsa Bajau berusia 35 tahun.”

“Turut ditemukan ialah hasil tangkapan ikan dianggarkan 800 kilogram. Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan, vesel berkenaan telah melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila didapati menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, iaitu kawasan yang tidak dibenarkan untuk operasi perikanan komersial.

Menurut Dzulfikhar, peraturan zon operasi ini diwujudkan bagi mengelakkan eksploitasi kawasan pantai dan memastikan aktiviti penangkapan ikan dijalankan secara bertanggungjawab.

“Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang masih berdegil melanggar syarat lesen, terutamanya di kawasan larangan,” katanya.

Vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular