PRN SABAH
HomeUtamaPinakol: Seni Rungus terpelihara, peluang ekonomi terbuka

Pinakol: Seni Rungus terpelihara, peluang ekonomi terbuka

Read Time:3 Minute, 13 Second

Oleh J Evachel John

PAPAR: Bagi Eaxter Jamalun, menguntai dan menenun manik untuk menghasilkan Pinakol, aksesori tradisi masyarakat Rungus, sudah sebati dalam kehidupannya.

Apabila dijemput menjadi tenaga pengajar dalam kursus sulam manik Pinakol di Papar, pemuda Rungus ini menggunakan peluang sebaik mungkin untuk berkongsi ilmu Pinakol dengan komuniti luar Rungus, sekali gus meluaskan pemahaman mengenai warisan budaya tersebut.

Bengkel selama dua hari yang bermula kelmarin itu menarik penyertaan pelbagai kaum, dengan peserta bukan sahaja mempelajari cara menghasilkan aksesori tradisi kaum Rungus, tetapi turut didedahkan kepada makna di sebalik setiap motif serta potensinya sebagai sumber pendapatan.

“Ramai yang mengenali Pinakol sebagai aksesori cantik, tetapi tidak semua tahu ia membawa cerita. Saya juga ingin tegaskan bukan semua kalung manik adalah Pinakol. Dalam bengkel ini, para peserta belajar teknik sulaman manik ‘suluw’ (menguntai manik) sambil memahami kisah di sebalik setiap corak,” katanya kepada Sabah Media.

Antara hasil tangan peserta yang masih dalam proses disiapkan. Foto ihsan Eaxter Jamalun

Menurut Eaxter, Pinakol adalah aksesori tradisional masyarakat Rungus yang digayakan secara menyilang di badan, dari bahu hingga pinggang, dan aksesori tersebut mempunyai kisah tersendiri.

“Secara ringkas, cerita ini bermula dengan seorang lelaki gagah bernama Tiningulun, simbol seorang pahlawan Rungus yang melambangkan kekuatan, keberanian, dan kepimpinan.

Tiningulun dilengkapi dengan Tinompuling (lembing) untuk mempertahankan diri. Dalam pengembaraannya, beliau berhadapan dengan Tinugarang, seekor haiwan legenda berbahaya yang dipercayai memiliki bisa atau kuasa ghaib. Ia menjadi simbol cabaran hidup dan kejahatan. Pertempuran berlaku, dan walaupun Tiningulun menang, dia mengalami luka parah akibat bisa Tinugarang, melambangkan kesakitan, ujian, dan keperluan untuk penyembuhan.

Tiningulun kemudian menemui tumbuhan sakti dikenali sebagai Vinusak, yang digunakan untuk menyembuhkan lukanya. Corak ini menjadi simbol penyembuhan, harapan, dan keseimbangan dengan alam. Setelah sembuh, Tiningulun pulang sebagai wira,” katanya.

Para peserta kursus. Foto ihsan Eaxter Jamalun

Eaxter menambah, kini Pinakol juga direka dalam saiz lebih kecil yang sesuai dijadikan kalung untuk kegunaan harian.

“Secara tradisinya, corak pada Pinakol perlu mengikut jalan cerita dan dipakai bersama pakaian tradisi. Jika digunakan sebagai kalung moden, ia terpulang kepada kreativiti masing-masing, tetapi perlu juga mengikut kesesuaian,” katanya.

Tambahnya, dua teknik utama digunakan dalam pembuatan Pinakol, iaitu teknik ‘suluw’ dan ‘loom’ (tenun manik).

Kedua-dua teknik tersebut, jelas Eaxter, mempunyai cabaran tersendiri. Namun, apabila dikuasai dengan baik, ia mampu menghasilkan Pinakol yang kemas, halus dan sangat menarik.

Selain aspek budaya, Eaxter berkata ramai peserta mengikuti bengkel tersebut untuk mempelajari kemahiran baharu yang berpotensi menjana pendapatan, terutama suri rumah.

“Pinakol mempunyai permintaan yang tinggi dan ini satu peluang ekonomi yang baik. Secara tidak langsung, penguasaan kemahiran seni halus tangan ini memastikan ia terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Para peserta kursus. Foto ihsan Eaxter Jamalun

Sementara itu, penganjur kursus, Elsiavena Molly Sonny, berkata kursus sulam manik Pinakol kali ini merupakan penganjuran ketiga di kedainya, Bbiey’s Garnet Collection, susulan permintaan ramai.

Menurutnya kursus pertama dan kedua menggunakan teknik ‘loom’ dan kali ini teknik ‘suluw’.

“Objektif utama kami ialah membuka peluang menjana pendapatan, sama ada secara sampingan atau sepenuh masa. Bagi peserta yang tidak mempunyai kedai, mereka boleh menghantar hasil kraftangan di kedai saya,” katanya, sambil menambah Eaxter juga menjadi tenaga pengajar bagi kursus kedua yang menggunakan teknik ‘loom’.

Sejak bengkel pada Jun dan Ogos lalu, Elsiavena berkata, beberapa peserta telah mula memperoleh pendapatan sendiri melalui hasil kraftangan manik.

Para peserta kursus. Foto ihsan Eaxter Jamalun

Menurut Elsiavena, impak positif bengkel mendorongnya terus menganjurkan kursus yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Kami juga menerima permintaan daripada peserta agar menganjurkan kursus-kursus lain selain kraftangan manik, dan itu turut dimasukkan dalam perancangan tahun hadapan,” tambahnya, sambil berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran bengkel tersebut.

Beliau berharap penganjuran berterusan dapat menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat, khususnya bagi mereka yang ingin berdikari melalui kemahiran tangan.

“Harapan kami tetap sama iiatu membantu mereka yang kurang berkemampuan menjana pendapatan melalui kraftangan. Jika kemahiran ini dapat mengubah hidup seseorang, walaupun sedikit, itu sudah memadai bagi kami,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ewon Benedict Lawat KKIP, Perkukuh Halatuju Pembangunan Industri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular