HomeUtamaPeniaga, staf didenda miliki produk tidak berdaftar

Peniaga, staf didenda miliki produk tidak berdaftar

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang peniaga dan pekerjanya dikenakan denda oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana memiliki produk tidak berdaftar dan barangan kosmetik tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Peniaga Norfarazila Jafran mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan manakala Asheera Amin, dua pertuduhan, di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan.

Norfarazila dikenakan denda RM5,000 atau empat bulan penjara, manakala Asheera pula dikenakan denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Semasa menjatuhkan hukuman, mahkamah mengingatkan kedua-dua tertuduh agar menjadikan perkara itu sebagai pengajaran dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Kita faham bisnes kena jalan, tapi kena patuhi undang-undang,” kata Amir.

Bagi empat pertuduhan tersebut, Norfarazila didapati memiliki 11 jenis produk tidak berdaftar dan 42 jenis kosmetik tidak bernotifikasi, antara 5 Mac 2024 dan 3 April 2024, di Maya Beauty D’Vendor, Kinarut.

Asheera pula didapati menjual lima produk tidak berdaftar masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi, tertuduh melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama.

Bagi pertuduhan memiliki produk bukan keluaran berdaftar, tertuduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama.

Semua kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua guru jadi saksi dalam kes lima remaja mencela Zara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular