BEAUFORT: Pusat Pendermaan Darah yang baharu di Hospital Beaufort akan mula beroperasi 15 Disember ini, sekali gus memberi kemudahan lebih mudah dan selesa kepada orang awam yang ingin menderma darah.
Pengarah Hospital Beaufort, Dr. Sutharsan A/L Kannan, berkata pusat baharu itu terletak di lokasi paling hadapan hospital dan merupakan laluan utama masyarakat, menjadikannya lebih mudah diakses berbanding lokasi terdahulu.

“Kami mengambil kesempatan daripada program hari ini untuk meraikan pra-pelancaran Pusat Pendermaan Darah Hospital Beaufort yang baharu.
“Lokasinya dipilih bagi memastikan orang ramai lebih mudah hadir untuk menderma,” katanya ketika berucap pada Program Sepetang Bersama Pejuang Thalasemia Beaufort, di sini pada Ahad.
Menurutnya, pembukaan pusat baharu itu juga merupakan usaha meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti derma darah, terutamanya golongan muda yang sangat diperlukan bagi menampung keperluan pesakit Thalassemia di daerah ini.
Beliau menegaskan bahawa membantu pesakit Thalassemia adalah tanggungjawab bersama kerana mereka merupakan “keluarga dan saudara” dalam komuniti Beaufort.

“Masyarakat bukan sahaja penting sebagai penderma darah, tetapi juga dalam mempromosikan program derma darah dan mengajak lebih ramai penyertaan baharu,” jelasnya.
Dr. Sutharsan turut mendedahkan bahawa sebanyak 2,550 beg darah telah berjaya dikutip dari Januari hingga November tahun ini.
Katanya, berdasarkan anggaran bahawa satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa, statistik itu bermakna 7,650 pesakit mendapat manfaat daripada sumbangan penderma darah sepanjang tahun ini.
Program tersebut turut diadakan bagi meraikan 23 pejuang Thalassemia Daerah Beaufort serta menyampaikan penghargaan kepada penganjur paling aktif dalam program derma darah, termasuk Y&Y Group, Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort dan Skuad Ar-Rayyan Sabah.
Turut hadir pada program berkenaan ialah wakil Y&Y Group, Nor Azian Mazwan Abdul Rahman; wakil Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort, Tan Sze Meng; Pengerusi Skuad Ar-Rayyan Sabah, Laiman Abdullah; penyumbang perseorangan Wong Oi Fa dan Lee Kim Yoong; serta Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Beaufort, Dr. Norilmi Juzuli. – SABAH MEDIA



