HomeIsu tempatanDoa ibu, titik peluh bapa bawa anak nelayan ke menara gading

Doa ibu, titik peluh bapa bawa anak nelayan ke menara gading

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Berbekalkan tekad, doa dan pengorbanan keluarga, seorang anak nelayan dari Kota Marudu membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mengecap kejayaan dalam bidang pendidikan.

Marni Roszdi, 23, graduan Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS), antara 3,807 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-27, sekali gus mencipta detik paling bermakna dalam hidupnya dan keluarga.

Sebagai anak kelima daripada tujuh beradik dalam keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut, perjalanan Marni menuju menara gading bukanlah mudah.

Detik menerima tawaran kemasukan ke UMS disambut dengan kegembiraan bercampur kebimbangan apabila ibu bapanya memikirkan kos pengajian yang perlu ditanggung.

“Rumah kami tiba-tiba sunyi. Bukan kerana tidak gembira, tetapi bimbang memikirkan kemampuan kewangan. Ayah hanya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Namun, pengorbanan seorang bapa yang sanggup “melawan ombak” demi masa depan anak menjadi pembakar semangat buat Marni untuk meneruskan perjuangan.

Sejak hari itu, bapanya turun ke laut setiap subuh, menempuh cuaca tidak menentu demi memastikan yuran pengajian dapat dibayar.

Cabaran hidup bertambah hebat ketika pandemik COVID-19 melanda apabila pendapatan keluarga merosot dengan ketara.

Dalam keadaan terdesak, Marni hampir berputus asa apabila wang saku tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan sebagai pelajar.

Namun, beliau memilih untuk bangkit dengan menyertai Sukarelawan Bilik Gerakan COVID-19 UMS dan menerima elaun RM20 sehari.

“Walaupun jumlahnya kecil, ia amat besar ertinya bagi saya sebagai pelajar luar bandar,” katanya yang terharu.

Di sebalik kekangan hidup, Marni kekal aktif dalam kokurikulum sebagai ahli unit beruniform SISPA serta menyertai pelbagai aktiviti universiti, malah berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas selama lapan semester berturut-turut.

Sokongan moral daripada warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS turut menjadi sumber kekuatan apabila beliau hampir rebah daripada tekanan emosi.

“Hari ini saya berdiri sebagai graduan hasil doa mama dan titik peluh bapa. Pengorbanan mereka adalah sebab saya sampai ke sini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia gagalkan aktiviti pukat tunda di perairan Tabawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular