KOTA KINABALU : Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah melaksanakan satu operasi penguatkuasaan di 10 premis yang menjual kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas dalam senarai terkawal tanpa label di sekitar Kota Kinabalu.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, operasi itu bertujuan memastikan hanya kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas yang telah diuji selamat serta dilabelkan dengan Label Keselamatan SIRIM dibenarkan dijual di pasaran.
Katanya, ia adalah selaras dengan kehendak Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024, dan Peraturan 117, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023.
“Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati premis-premis yang menjalankan aktiviti penjualan kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas yang tidak mempunyai Label Keselamatan SIRIM,”katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, bahawa premis-premis berkenaan telah diberikan notis larangan dan diarahkan untuk menarik balik semua produk terbabit daripada jualan dalam tempoh 14 hari.
Menurutnya, kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan perundangan diambil, termasuk penyitaan barangan.
“Bagi premis yang gagal menarik balik penjualan Kelengkapan Elektrik Pengguna tanpa Label Keselamatan SIRIM, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, selaras dengan Peraturan 134, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024,” katanya.
Sementara itu, Nasser berkata, premis yang gagal menarik balik penjualan Perkakas Gas tanpa Label Keselamatan SIRIM boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, dan bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan tersebut berterusan selepas sabitan, selaras dengan Subseksyen 62(1) & (2), Enakmen Bekalan Gas 2023.
Beliau turut mengingatkan pengguna supaya memilih produk elektrik dan perkakas gas yang mempunyai Label Keselamatan SIRIM kerana ia menjamin produk tersebut telah diuji oleh makmal pengujian bertauliah serta memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Pemilihan produk yang mematuhi piawaian dapat mengurangkan risiko berlakunya litar pintas, renjatan elektrik serta bahaya lain yang boleh mengakibatkan kecederaan, kematian, kebakaran atau kerosakan harta benda,” katanya.



