HomeUtamaESSCOM hargai peranan media, perkukuh kerjasama menerusi sukan persahabatan

ESSCOM hargai peranan media, perkukuh kerjasama menerusi sukan persahabatan

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Program Media Engagement Strike Bond – ESSCOM X Media 2025 berjaya memperkukuhkan hubungan antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pengamal media di Sabah menerusi penganjuran sukan persahabatan tenpin boling.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B. Sanjos berkata program itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kerjasama antara ESSCOM dan pengamal media di Sabah.

“Salah satu objektif program ini adalah untuk merapatkan hubungan serta kerjasama antara ESSCOM dan para pengamal media.

“Saya percaya melalui aktiviti sukan seperti ini, bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi juga membolehkan kita saling mengenali dengan lebih dekat.

“Kami percaya bahawa dengan kerjasama serta ikatan yang kukuh daripada rakan-rakan media, ESSCOM dapat mencapai objektif penubuhannya di kawasan Sabah Timur (ESSZone).

“Saya berharap hubungan serta silaturahim ini dapat dikekalkan dan seperti yang sering saya tekankan rakan-rakan media adalah mata, telinga dan juga suara kepada ESSCOM,” katanya kepada media selepas program itu di sini, pada Ahad.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JAPEN) dan dihadiri 75 pengamal media daripada pelbagai agensi dan warga ESSCOM, sebagai usaha mengeratkan hubungan antara ESSCOM dan media di Sabah.

Mengulas pencapaian ESSCOM tahun ini, beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan di kawasan ESSZone berada pada tahap baik, termasuk ketika pelaksanaan Pilihan Raya Umum yang berlangsung dengan aman.

“Sepanjang tahun ini, ESSCOM berjaya mengekalkan keselamatan di ESSZone. Ini dapat dibuktikan melalui perjalanan PRU yang begitu tenang dan damai sehingga pembentukan kerajaan baharu.

“Harapan kami ialah komuniti ESSZone dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan tenang dan sejahtera, sekali gus menyumbang kepada ketenteraman awam dan pembangunan ekonomi di kawasan itu,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali; Timbalan Komander ESSCOM, Brig Jen Mohamad Ismail Kamarudin; serta Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes rasuah Albert Tei dibicara tahun hadapan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular