Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah akan dibicarakan pada 20 hingga 24 April 2026.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, menetapkan tarikh tersebut selepas kes Datuk Tei Jiann Cheing, 37, yang juga dikenali sebagai Albert, disebut untuk pengurusan pra-perbicaraan hari ini.
Seramai 15 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi, memaklumkan mahkamah bahawa beliau mengambil alih kes itu daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya beliau dimaklumkan bahawa pihak pembelaan belum menerima dua salinan cakera padat (CD) daripada pihak pendakwaan. Oleh itu, pihaknya menyerahkan CD tersebut pada hari ini.
Dzulkarnain kemudian memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sekiranya tiada isu lain dibangkitkan oleh pihak pembelaan.
Peguam Edward Paul, bersama peguam Bartholomew Jinggulam dan Jul Hamri, memaklumkan bahawa pihak pembelaan tiada sebarang bantahan.
Pada 30 Jun, Albert mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada bekas ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Albert didakwa memberikan suapan RM200,000 kepada Dr Yusof sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan Lesen Melombong bagi Nusa Kini Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 2 petang, 6 Mac 2023, di Rooftop Bar & Grill @ Hilton, di sini.
Seterusnya, Albert didakwa memberikan rasuah RM150,000 kepada Andi sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan Sinaran Hayat Sdn Bhd bagi Lesen Melombong (Prospecting Licence) mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 11 malam, 12 Mei 2023, di kediaman Andi di Jalan Pantai, Sembulan.
Difahamkan bahawa Nusa Kini Sdn Bhd dan Sinaran Hayat Sdn Bhd yang berpangkalan di Sabah dimiliki oleh rakan perniagaan Albert.



