HomePendapatMalaysia Menggapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Tumpuan Kini Terarah kepada Keberkesanan PBS dan...

Malaysia Menggapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Tumpuan Kini Terarah kepada Keberkesanan PBS dan UASA

Read Time:2 Minute, 53 Second

KUALA LUMPUR– Aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) perlu terus dihayati dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar pendidikan negara agar kekal relevan serta berkesan selaras agenda pembangunan semasa, kata penganalisis Wan Azrain Adnan.

Beliau berkata, SPM 2025 mencatat detik penting apabila 413,372 calon menduduki peperiksaan itu di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 3 November hingga 23 Disember 2025, sekali gus menjadi kohort pertama menduduki SPM tanpa melalui peperiksaan UPSR dan PT3 yang dimansuhkan masing-masing pada 2021 dan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dengan pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan, penilaian pelajar kini tertumpu sepenuhnya kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), satu pendekatan yang sebenarnya telah diperkenalkan sejak 2011 dan merangkumi aspek akademik serta bukan akademik melalui empat komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Antara instrumen PBD ialah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), yang mula dilaksanakan pada 2022 bagi pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di sekolah menengah rendah.

Namun, menurut Wan Azrain, pelaksanaan PBS dan UASA terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan pemegang taruh pendidikan berikutan kebimbangan terhadap isu keseragaman, konsistensi, ketelusan dan potensi bias dalam pemarkahan yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Isu itu memuncak pada September 2025 apabila dakwaan penurunan markah lulus UASA daripada 40 peratus kepada 20 peratus tular, mendorong Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa penjelasan KPM bagi meredakan kebimbangan awam.

Berdasarkan panduan rasmi KPM, gred minimum “lulus” UASA memang ditetapkan pada 20 peratus sebagai tahap asas penguasaan, namun kadar itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai terlalu rendah dan dikhuatiri boleh mengurangkan motivasi pelajar untuk mencapai potensi sebenar.

Selain itu, pelaporan UASA menggunakan skala enam Tahap Penguasaan (TP1–TP6) turut dikritik kerana dianggap mengelirukan terutama bagi keluarga yang lebih selesa dengan sistem peratus dan gred tradisional.

Dalam usaha menambah baik sistem itu, KPM melalui enam penambahbaikan bermula sesi akademik 2024/2025 termasuk menukar format pelaporan kepada peratus dan gred, memberi autonomi lebih besar kepada guru dan sekolah dalam pelaksanaan UASA serta menyediakan format panduan bagi pembangunan instrumen pentaksiran.

Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia turut menegaskan bahawa analisis SPM 2023 dan 2024 menunjukkan pemansuhan UPSR dan PT3 tidak memberi impak negatif terhadap prestasi SPM, selain standard soalan UASA kekal dikawal melalui Jadual Spesifikasi Ujian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Walaupun begitu, gesaan mengembalikan UPSR dan PT3 semakin kuat dengan Pengerusi MARA, Tan Sri Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan peperiksaan UPSR wajar dikembalikan sebagai instrumen saringan utama ke SBP, MRSM, SMKA dan sekolah aliran khusus lain.

Pandangan itu bagaimanapun tidak disokong bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan yang menegaskan PBS lebih menyeluruh dan mencerminkan potensi sebenar murid, manakala Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad pula mengingatkan bahawa mengembalikan peperiksaan berkenaan berisiko melahirkan generasi yang hanya menghafal tanpa keupayaan mengaplikasi ilmu secara bermakna.

Menteri Pendidikan sebelum ini menyatakan keputusan berhubung keperluan peperiksaan nasional selain SPM akan dibuat berdasarkan pembentangan laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 yang mengumpulkan data sepanjang pelaksanaan pelan tersebut.

Wan Azrain menambah, semua pihak berkongsi matlamat yang sama iaitu melahirkan generasi seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti digariskan FPK, namun pendekatan terbaik ke arah itu perlu ditetapkan secara konsisten untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan kesan negatif akibat perubahan dasar yang bersifat tidak menentu.

Beliau berkata, keputusan dan pencapaian SPM 2025 akan menjadi indikator awal keberkesanan sistem penilaian baharu pendidikan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengecat rumah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular