HomeUtamaLelaki tempatan ditahan, simpan diesel tanpa permit

Lelaki tempatan ditahan, simpan diesel tanpa permit

Read Time:1 Minute, 12 Second

LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah van bersama kira-kira 70 liter minyak diesel yang disimpan tanpa permit sah dalam satu operasi khas di sebuah tapak pembinaan di sini pada Selasa.

Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata,  penahanan itu dibuat hasil Ops Tiris 2025 selepas pasukan penguat kuasa menjalankan pemantauan rapi di beberapa stesen minyak sekitar Labuan bagi mengesan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati, pemandu van berkenaan dipercayai mengisi diesel ke dalam beberapa gelen di beberapa stesen minyak sebelum mengumpulkannya di tapak pembinaan tersebut.

“Dalam serbuan yang dijalankan, seorang lelaki tempatan ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada KPDN berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Pemandu, kenderaan serta beberapa gelen berisi minyak diesel itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Pejabat KPDN WP Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Junaidah berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Katanya, bagi syarikat, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta.

Menurutnya lagi, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 2025 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, terutamanya bahan api bersubsidi.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak KPDN bagi membantu usaha membanteras ketirisan subsidi. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

RELATED ARTICLES
Utama

Warga asing dipenjara 14 bulan cederakan lelaki guna gunting

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular