Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang peniaga didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjual dan memiliki produk tidak berdaftar, termasuk herba kurus, ubat kuat dan pil membesarkan payudara.
Lishernie Ddyvie Jawan, 33, turut mengaku bersalah kerana memiliki kosmetik tidak bernotifikasi di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Tertuduh melakukan semua kesalahan dilakukan pada 15 Jun 2023, lebih kurang pukul 11.30 pagi, bertempat di Aqualis Beauty & Fashion, Papar.
Bagi pertuduhan pertama, Lishernie didenda RM1,000 atau satu bulan penjara kerana menjual tiga produk tidak berdaftar.
Lishernie dikenakan denda RM1,500 atau satu bulan penjara bagi pertuduhan kedua selepas mengaku memiliki 11 produk tidak berdaftar pada masa dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau dikenakan denda RM1,500 atau satu bulan penjara kerana memiliki 11 jenis kosmetik tidak bernotifikasi, termasuk produk mencerahkan kulit.
Bagi kesalahan memiliki dan menjual produk tidak berdaftar, tertuduh telah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama.
Manakala bagi kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi, tertuduh didapati melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan yang sama.
Kesemua kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Farmasi Angeline A/P Francis William.



