KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyalurkan insentif berjumlah RM100,000 kepada pasukan Sabah FC sebagai penghargaan atas kejayaan melakar sejarah mara ke final Piala FA 2025, kali pertama selepas tiga dekad tidak beraksi di pentas akhir kejohanan itu.
Insentif tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam, yang mengadakan lawatan khas bertemu pemain dan pengurusan Sabah FC di Stadium Likas di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kejayaan Sabah FC mara ke final merupakan pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja kepada pasukan, malah kepada seluruh rakyat Sabah.
“Ini adalah satu pencapaian yang cukup memberangsangkan. Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menyampaikan salam penghargaan kepada seluruh pasukan Sabah FC, dan kerajaan negeri turut menyampaikan insentif sebanyak RM100,000 sebagai tanda sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri dan menyaksikan sesi latihan terbuka Sabah FC di Stadium Likas di sini.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Shahelmey Yahya.
Nizam turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan insentif yang lebih besar sekiranya Sabah FC berjaya menjuarai Piala FA 2025, sekali gus mengulangi kejayaan kali terakhir yang dicapai pada tahun 1995.
“Jika Sabah FC berjaya menjadi juara, insya-Allah kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri akan memberi insentif atau bonus yang lebih besar kepada pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan pengurusan Sabah FC, termasuk Presiden Sabah FC, Datuk Shahelmey Yahya, serta seluruh pengurusan dan pemain yang berjaya membawa pasukan ke perlawanan akhir selepas hampir tiga dekad.
Nizam turut menyeru seluruh rakyat dan penyokong Sabah khususnya yang berada di Lembah Klang supaya hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan penuh kepada pasukan kebanggaan negeri itu.
Sebagai tambahan, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyumbang hampir 2,000 tiket percuma kepada warga Sabah di Lembah Klang bagi menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
“Saya berharap Sabah FC akan beraksi dengan penuh komitmen, semangat berpasukan dan kesungguhan. Insya-Allah dengan doa seluruh rakyat Sabah, sejarah baharu akan tercipta pada tahun 2025 ini,” katanya.
Sabah FC akan bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium Bukit Jalil Ahad ini. – SABAH MEDIA



