KOTA KINABALU : Seramai 67 pendidik politeknik dari Almaty, Kazakhstan mengadakan lawatan rasmi ke Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di sini bagi berkongsi amalan baik, menjalinkan kerjasama akademik, dan meneroka sistem pendidikan Malaysia.
Delegasi yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pendidikan Bandar Almaty Umit Izbayeva, yang terdiri daripada wakil-wakil dari 12 institusi pendidikan politeknik utama di Almaty, termasuk Almaty College of Construction and Folk Crafts, Almaty College of Fashion and Design, dan Almaty Polytechnic College.

Acara kemuncak lawatan ini adalah upacara Penyerahan Surat Niat (LOI) kepada 12 institusi yang terlibat, secara rasmi membuka jalan kepada perkongsian dan kolaborasi dua hala pada masa hadapan.
Dalam ucapannya, Umit Izbayeva berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk belajar daripada pakar-pakar dalam bidang pelancongan, hospitaliti, perniagaan, IT, pendidikan, dan industri perkhidmatan di PKK.
“Malaysia memberi perhatian yang besar terhadap pembangunan modal insan, terutamanya pembangunan belia.
“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk mengenali sistem pendidikan sebuah negara maju dan terkemuka serta meningkatkan sistem pendidikan kami sendiri di Kazakhstan berdasarkan lawatan di Politeknik Kota Kinabalu,” katanya.
Sepanjang program itu, delegasi telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian amalan baik akademik, sesi silang budaya, dan lawatan fasiliti di PKK.
Aktiviti ini membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai metodologi pengajaran dan pembelajaran terkini.
Mengulas mengenai lawatan ini, Timbalan Pengarah Akademik PKK Ts. Abdul Razak Mohd Daim turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa.
“Lawatan ini amat bermakna bagi kami, kerana ia memberi peluang kepada kedua-dua institusi kami untuk mengukuhkan hubungan dan meneroka bidang kerjasama yang mungkin.
“Kami berharap hari ini akan menjadi permulaan perkongsian yang positif dan jangka Panjang,” tambah Razak.
Lawatan delegasi pendidik Kazakhstan ini menandakan satu langkah penting dalam usaha pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia dan menggariskan komitmen negara dalam berkongsi kepakaran dan memupuk hubungan global dalam pembangunan modal insan. – SABAH MEDIA / FOTO PKK



