Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Seramai 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Dilantik mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M.Yahya di sini hari ini.
Secara keseluruhan, DUN Sabah mempunyai 79 kerusi termasuk enam kerusi ADUN Dilantik namun satu kerusi iaitu DUN Lamag diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin Jumaat lalu.
Upacara angkat sumpah yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu didahului Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Sulaman) dan diikuti tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang); Datuk Seri Masidi Manjun (GRS-Karanaan) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian).

Ia kemudian disusuli tujuh menteri dan 17 pembantu menteri Kabinet Sabah iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (GRS-Membakut); Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib (GRS-Sugut) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubin Balang (GRS- Kemabong).

Turut mengangkat sumpah Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar (PH-Melalap); Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau); Menteri Pembangunan Belia,Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS-Apas) dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Mojungki (GRS-Matunggong).

Sementara itu, enam ADUN Dilantik turut mengangkat sumpah iaitu Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi; Datuk Caesar Mandela Malakun; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Roger Chin; Datuk Ir Chin Shu Ying dan Grace Lee Li Mei.
Esok Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dijadual akan membentangkan Belanjawan Sabah 2026 yang bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’.
Belanjawan 2026 itu akan dibentangkan di DUN Sabah pada jam 3 petang. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH



