Dalam era digital yang semakin kompleks, jenayah terhadap kanak-kanak tidak lagi berlaku di lorong gelap dunia fizikal semata-mata, sebaliknya semakin rancak bergerak di ruang siber yang tersembunyi, sulit dan sukar dikesan.
Antara bentuk jenayah paling serius ialah bahan penderaan seksual kanak-kanak atau ‘child sexual abuse material’ (CSAM), yang kini menjadi ancaman global merentas sempadan.
CSAM bukan sekadar muncul dalam bentuk rakaman penderaan, malah turut wujud dalam imej yang diubah suai, bahan yang dirakam secara paksaan serta kandungan yang disebarkan melalui kumpulan tertutup dan akaun tanpa nama.
Lebih membimbangkan, bahan-bahan ini kini diedarkan secara pantas melalui platform pemesejan, rangkaian privasi dan saluran ‘dark web’, dengan transaksi kewangan dilakukan melalui sistem tanpa tunai yang sukar dikesan.
Realiti ini menjadikan usaha pengesanan dan penyingkiran kandungan haram sebagai satu cabaran besar kepada pihak berkuasa dan penyedia platform digital.
ANCAMAN YANG SEMAKIN TERSUSUN DAN TERSELINDUNG
Penemuan nasional terkini mendedahkan bahawa penghasilan dan pengedaran CSAM kini dilakukan secara lebih tersusun, sofistikated dan bersindiket. Dalam satu operasi bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 23 hingga 30 September 2025, sebanyak 31 tangkapan dilakukan di 37 lokasi, dan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM berjaya dirampas.
Lebih membimbangkan, siasatan turut mengesahkan penglibatan golongan remaja, satu petanda awal bahawa generasi muda kini terdedah lebih awal kepada dunia berisiko tinggi, sama ada sebagai mangsa, pemerhati atau penyebar tanpa sedar.
Hakikat ini mengukuhkan satu kesimpulan penting: perlindungan kanak-kanak tidak lagi boleh bergantung kepada tindakan selepas jenayah berlaku, sebaliknya mesti bermula dari pintu masuk digital itu sendiri.
KAWALAN AKSES AWAL: MENGAPA HAD UMUR 16 TAHUN MENJADI KRITIKAL
Seiring dengan peningkatan ancaman ini, kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memperkenalkan had umur minimum 16 tahun bagi akses ke platform digital, dengan sokongan kawalan berasaskan umur.
Langkah ini bukan bertujuan menyekat kebebasan semata-mata, tetapi berfungsi sebagai mekanisme pencegahan awal bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berisiko selain menghalang eksploitasi awal serta mengekang pembabitan dalam rangkaian tersembunyi yang memudaratkan.
Kanak-kanak di bawah 16 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling terdedah kepada manipulasi, ugutan dan eksploitasi digital, kerana faktor kematangan emosi, rasa ingin tahu serta kekangan kefahaman terhadap risiko siber.
Dengan meletakkan kawalan akses di pintu masuk, ruang untuk bahaya berkembang dapat dikurangkan sebelum ia sempat berakar.
PLATFORM DIGITAL KINI BENTENG TERAKHIR PERLINDUNGAN
Jika kawalan umur ialah lapisan pertama, maka penyedia platform digital merupakan benteng terakhir perlindungan kanak-kanak. Hari ini, tanggungjawab platform tidak lagi terhad kepada menyediakan ruang komunikasi, tetapi turut merangkumi keupayaan untuk mengesan kandungan haram dengan pantas serta menghalang penyebaran berulang selain menyingkirkan bahan penderaan secara konsisten
Hakikatnya, kelajuan dan konsistensi tindakan platform kini lebih penting daripada jumlah kandungan yang dipadam semata-mata. Satu kelewatan sahaja boleh membolehkan bahan penderaan beredar, dimuat turun dan dikongsi semula berkali-kali, mewujudkan penderitaan berterusan kepada mangsa.
Keadaan ini menjadikan akauntabiliti platform bukan lagi pilihan, sebaliknya satu kewajipan moral dan sosial.
PERANAN KELUARGA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN
Di sebalik kawalan sistem dan penguatkuasaan undang-undang, keluarga kekal sebagai benteng kedua terpenting. Kawalan peranti, pendidikan literasi digital, komunikasi terbuka serta pemantauan aktiviti dalam talian merupakan perisai penting bagi melindungi anak-anak daripada ancaman tersembunyi.
Perlindungan sebenar lahir daripada gabungan tiga lapisan utama iaitu kawalan akses sejak awal (berdasarkan umur); pengukuhan di peringkat isi rumah dan tindakan tegas dan konsisten oleh penyedia platform. Tanpa keseimbangan ini, mana-mana usaha perlindungan akan pincang.
HARAPAN BAHARU, TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Kebimbangan yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti membuktikan bahawa isu keselamatan kanak-kanak dalam talian kini berada di puncak perhatian negara.
Masyarakat hari ini bukan sekadar menuntut tindakan selepas jenayah berlaku, tetapi mengharapkan perlindungan yang proaktif, sistemik dan berterusan.
Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun, pengukuhan kawalan akses serta peningkatan kebertanggungjawaban platform mencerminkan perubahan pasca yang semakin jelas dimana pencegahan adalah lebih penting daripada pemulihan.
Melindungi kanak-kanak bukan sekadar isu teknologi, tetapi soal nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan masa depan generasi negara. – SABAH MEDIA



