KOTA KINABALU: Bekas pengurus banquet didenda RM2,000 atau lima bulan penjara selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita.
Gerard Idit, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzull Elmy Yunus.
Mengikut pertuduhan, Gerard telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 20 tahun pada 9 April lalu, kira-kira jam 2 petang, di pejabat Banquet sebuah hotel dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa merupakan pelajar yang bekerja sambilan di tempat tersebut sekiranya ada majlis diadakan.
Pada hari kejadian, mangsa berasa tidak sihat dan berehat di pejabat banquet apabila tertuduh datang lalu mencabulnya.
Tertuduh ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Lim Ming Zhong.


