KOTA KINABALU: Pemimpin pendidikan di negara ini perlu memastikan agenda pendigitalan tidak mengabaikan nilai kemanusiaan, etika dan kesejahteraan sosial yang menjadi asas pendidikan sejati, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia (MEDC) 2025, beliau berkata transformasi pendidikan pada era digital bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi harus memberi penekanan kepada pemerkasaan insan dan pembentukan nilai.
“Transformasi digital bukan sahaja tentang pengenalan teknologi baharu, tetapi lebih penting lagi tentang pemerkasaan insan, pembentukan nilai dan peningkatan kualiti pengalaman pembelajaran bagi setiap pelajar,” katanya.
Menurut Kasim lagi, transformasi pendidikan digital hanya akan berjaya sekiranya inovasi teknologi diinstitusikan selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang tercicir sepanjang proses tersebut.
“Kita perlu memastikan inovasi teknologi selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang ketinggalan, dan kesejahteraan mereka sentiasa dijaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kerjasama antara UMS, MEDC dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam penganjuran seminar tersebut membuktikan adanya visi bersama yang merentasi sempadan institusi demi kemajuan pendidikan negara.
“Kerjasama yang ditunjukkan ini mencerminkan visi bersama yang jelas, iaitu satu gagasan yang merentasi sempadan institusi demi kemajuan pendidikan negara,” katanya.
Kasim turut menyatakan penghargaan kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS atas kejayaan menjadi tuan rumah kepada seminar berprestij tersebut.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan penyelidikan, inovasi pendidikan, penglibatan komuniti dan pembangunan profesionalisme tenaga pengajar.
“Saya menyeru agar semua peserta dapat memanfaatkan ruang yang berharga ini untuk berkolaborasi, bertukar idea, berkongsi amalan terbaik dan mencetus inisiatif baharu yang mampu memperkasa sistem pendidikan negara,” katanya.
Seminar kebangsaan berkenaan berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan Dekan- dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia, para penceramah, dan ahli akademik bagi membincangkan tema “Transformasi Pendidikan Era Digital: Inovasi, Inklusiviti dan Kesejahteraan.”
Turut hadir sebagai pengucaptama Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga seorang tokoh pendidikan Malaysia.


