HomeUtamaDr Fatimah Sabrina terima Anugerah Inspirasi OKU AIKON 2025 Peringkat Kebangsaan

Dr Fatimah Sabrina terima Anugerah Inspirasi OKU AIKON 2025 Peringkat Kebangsaan

Read Time:1 Minute, 36 Second

SHAH ALAM: Dr. Fatimah Sabrina Moahmmad, seorang OKU fizikal sejak 2015 yang berasal dari Sabah, menerima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU Nusa UiTM (AIKON) 2025 pada peringkat kebangsaan sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung di AEON Hall, AEON Mall di sini, semalam.

Majlis anjuran Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM itu membawa tema “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial”, selaras dengan komitmen UiTM memperkasa penyertaan komuniti OKU secara inklusif dan bermakna.

Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, yang menekankan kepentingan ekosistem sokongan menyeluruh di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan warga OKU berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr. Fatimah yang juga seorang doktor perubatan, penjawat awam serta pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dikenali sebagai tokoh OKU yang aktif menggerakkan inisiatif berimpak tinggi merentas sektor.

Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pascasiswazah UiTM dan kini terlibat aktif dalam program kesihatan komuniti, advokasi hak OKU di peringkat dasar, forum nasional serta kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan.

Selain itu, beliau turut aktif dalam kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebagai Presiden Persatuan Alzheimer Sabah yang memberi tumpuan kepada sokongan pesakit dan penjaga Alzheimer, serta Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia yang memperjuangkan kepimpinan wanita dan keterangkuman sosial.

Penglibatan berterusan itu membuka ruang dialog, meningkatkan kesedaran awam dan memperluas peluang penyertaan golongan OKU serta kumpulan rentan dalam arus pembangunan negara.

Mengulas pengiktirafan diterima, Dr. Fatimah berharap anugerah itu menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU dan masyarakat awam.

“Saya berharap anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU dan masyarakat umum bahawa setiap individu mempunyai nilai serta potensi tersendiri apabila diberikan peluang dan sokongan yang adil serta inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah AIKON merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian, ketekunan dan sumbangan inspiratif warga OKU, sekali gus mencerminkan usaha berterusan UiTM mempromosikan keterangkuman sosial dan keadilan dalam pendidikan serta pembangunan insan di peringkat kebangsaan.

RELATED ARTICLES
Utama

RM84.40 juta untuk kebajikan dan adat resam anak negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular