HomeUtamaKerajaan Sabah jadikan Tahun Melawat Sabah 2027 agenda utama pelancongan

Kerajaan Sabah jadikan Tahun Melawat Sabah 2027 agenda utama pelancongan

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan terus mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata,  antara lain usaha yang dirancang termasuk penganjuran festival budaya dan alam semula jadi berskala besar, promosi pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa

“Bagi mengekalkan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah sedang dalam peringkat perancangan untuk menganjurkan ‘Tahun Melawat Sabah 2027’.

“Penganjuran ini dijangka akan menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, siling peruntukan yang diluluskan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) di bawah RMKe-13 adalah sebanyak RM493.02 juta dengan 53 projek pembangunan merangkumi 19 projek sambungan dan 34 projek baharu.

Katanya, antara projek yang akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 adalah Kajian Pembinaan Muzium Baharu Sabah; Penubuhan Kota Kinabalu Performing Arts Centre (KKPAC); pembinaan Arte Museum (Digital Museum); pembinaan Galeri Marin di Taman Tun Mustapha Kudat; dan peningkatan kemudahan pelancongan di Pulau Bohey Dulang Semporna.

“Selain itu, Kerajaan Sabah juga akan menambah baik fasiliti dan infrastruktur sedia ada yang melibatkan peruntukan sebanyak RM38.70 juta.

“Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan ialah Menaik Taraf Kemudahan Di Petagas War Memorial Park; Pembinaan Muzium Etnik Ranau; Menaik Taraf Pusat Kebudayaan Penampang dan Peningkatan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sabah juga telah memperuntukkan sebanyak RM6.7 juta pada tahun hadapan kepada Jabatan Muzium Sabah bagi memelihara dan membaik pulih bangunan muzium sedia ada.

Tambahnya, jumlah itu juga akan turut menambah baik ruang pameran agar aset serta koleksi khazanah budaya Sabah dapat diperaga dan dipamerkan sementara menunggu bangunan muzium baharu disiapkan. Manakala, sebanyak RM18.97 juta adalah untuk Perbelanjaan Mengurus.

“Seterusnya, Kerajaan Sabah akan meneruskan inisiatif untuk memperkasa warisan dan budaya Sabah dengan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik dan budaya Sabah ini didokumentasi secara sistematik untuk rujukan generasi kini dan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, sebanyak RM174.45 juta diperuntukkan kepada KePKAS serta Jabatan dan Agensi di bawahnya sebagai inisiatif Kerajaan kepada pembangunan industri pelancongan di Sabah.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak ekonomi, malah turut menyumbang kepada pemuliharaan nilai warisan budaya serta kelestarian alam semula jadi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tambah Pusat Autisme, RM670,000 diperuntukkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular