BERNAMA
KUALA LUMPUR : Fokus Sabah FC kekal kepada pasukan mereka sendiri, pada ketika pasukan itu mahu menamatkan penantian 30 tahun sejak kali terakhir mereka menjulang Piada FA pada 1995.
Ketua Jurulatih Jean-Paul de Marigny berkata pasukannya juga tidak akan terganggu dengan masalah kecederaan dan penggantungan dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT), ketika pertemuan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
“Saya seorang jurulatih yang hanya memfokuskan kepada pasukan saya. Ini yang di bawah kawalan saya dan saya tidak boleh mengawal pihak lawan.

“Objektif utama saya ialah memastikan pemain melaksanakan rancangan permainan dengan tahap mental yang betul dan berani,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai perlawanan esok, de Marigny berkata pasukannya akan bersedia menghadapinya berbanding berasa tekanan terhadapnya.
“Sebabnya ialah, kami di sini (Final Piala FA) kerana atas usaha kami dan kami berhak ke atasnya. Ia suatu penghormatan untuk berada di sini (Final Piala FA).
“Jadi perkara utama ialah kami perlu menghargai detik ini dan menikmati kesempatan yang ada,” katanya.
Sementara itu, kapten Sabah Dominic Tan berkata walaupun skuad menikmati detik tersebut, pasukan itu tetap bersemangat dan lapar untuk menamatkan misi dengan penuh gemilang.
“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang untuk kami mara ke final selepas 27 tahun. Kami sangat berbangga dengan detik ini, namun sebagai pemain profesional kami tidak pernah berpuas hati, jadi kami akan memberikan yang terbaik pada perlawanan akhir,” katanya. BERNAMA



